KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan (MINDEF) merancang untuk membuka semula tender kontrak sewaan helikopter Black Hawk jenis UH-60 untuk digunakan Tentera Darat Malaysia (TDM) pada masa hadapan.
Perancangan itu dilakukan selepas syarikat dilantik sebelum ini iaitu Aerotree Defence and Services Sdn Bhd gagal membuat penghantaran mengikut tarikh ditetapkan.
Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, setakat ini beberapa syarikat telah pun mengemukakan kertas cadangan bagi menawarkan diri untuk membekalkan helikopter berkenaan.
“Buat masa ini, parameter dia tetap kekal di mana nilai projek masih di paras RM200 juta dan kita memerlukan sewaan lima tahun untuk empat helikopter ini.
“TDM masih lagi membuka ruang untuk sebarang cadangan dari mana-mana pihak yang berminat dan berkemampuan untuk projek pembekalan ini,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Perbarisan Hari Tentera Darat Ke-92 di Dataran PTD, Kem Perdana Sungai Besi, di sini, hari ini.
November lalu, MINDEF menyerahkan notis pembatalan kontrak sewaan empat helikopter Black Hawk kepada syarikat yang sebelum ini telah memenangi tender berkenaan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilapor berkata tindakan itu diambil selepas syarikat berkenaan gagal memenuhi tarikh akhir ditetapkan walaupun sudah dilanjutkan hingga akhir Oktober lalu.
Dalam perkembangan lain, Muhammad Hafizuddeain berkata TDM juga bakal memperoleh empat helikopter AW149 susulan pembelian 28 unit helikopter itu secara kontrak pajakan dengan kos RM16 bilion untuk tempoh 15 tahun.
“Kita difahamkan paling awal akan menerima helikopter ini menjelang 2027… walaupun cuma empat pesawat sahaja diterima, tetapi kita berterima kasih kepada pihak kerajaan.
“Apabila kita memiliki helikopter ini kelak, ia sedikit sebanyak dapat menutup jurang keupayaan kemampuan sistem pertahanan yang kita ada sekarang, selain dari segi keupayaan pengangkutan udara,” katanya.
Selain TDM, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan memperoleh 12 unit helikopter sama, manakala Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) memperoleh dua unit.
Baki daripada keseluruhan 28 unit helikopter ini akan diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Jabatan Perdana Menteri (JPM).-BH Online