Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KOTA TINGGI: Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) hari ini bersetuju menubuhkan pasukan petugas khas peringkat tinggi bagi menghadapi cabaran ekonomi global termasuk kesan tarif yang dikenakan Amerika Syarikat (AS).

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata menteri AEM juga bersetuju untuk memperkukuh kerjasama dalam menghadapi pelbagai cabaran ekonomi global.

Katanya, keputusan itu dicapai dalam Permukiman AEM ke-31 di Desaru yang dihadiri 10 Menteri Ekonomi anggota ASEAN dan Timor-Leste.

“Menteri AEM menegaskan bahawa langkah strategik diperlukan bagi memastikan kestabilan dan daya saing ASEAN sebagai blok ekonomi kelima terbesar dunia.

“ASEAN perlu mengambil pendekatan lebih proaktif dalam menangani cabaran ini (tarif AS) dengan memastikan rantau ini kekal kompetitif.

“Oleh itu, kami telah bersetuju untuk menubuhkan pasukan petugas khas bagi mengkaji kesan tarif AS dan menasihati Menteri Ekonomi ASEAN mengenai langkah yang perlu diambil,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Permukiman AEM ke-31 yang dihadiri 10 Menteri Ekonomi ASEAN dan Timor-Leste, di Desaru, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn.

Pada 14 Februari lalu, Presiden AS, Donald Trump dilaporkan mengumumkan rancangannya untuk menaikkan tarif AS untuk memadankan kadar cukai yang dikenakan oleh negara lain (termasuk negara sekutu dan pesaing) ke atas import.

Ini secara langsung mungkin mencetuskan konfrontasi ekonomi yang lebih luas antara sekutu dan pesaing Trump, dengan harapan menghapuskan ketidakseimbangan perdagangan.

Trump dilaporkan berkata, bahawa beliau sudah memutuskan tarif timbal balas berdasarkan keadilan.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata ASEAN juga perlu menumpukan kepada perdagangan, mineral strategik, ketahanan rantaian bekalan, dan keselamatan teknologi, bagi menghadapi cabaran ekonomi global dan terus berdaya saing.

“Pasukan Petugas Khas juga akan diwujudkan bagi meneliti peluang kerjasama dalam sektor perdagangan, sumber mineral, dan keselamatan teknologi di kalangan ASEAN,” katanya.-BH Online