PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Setiausaha Majlis Keselamatan Russia, Sergei Shoigu, di Perdana Putra di sini hari ini, untuk bertukar-tukar pandangan mengenai isu keselamatan dan pertahanan.
Ketibaan Shoigu di bangunan yang menempatkan Pejabat Perdana Menteri itu kira-kira jam 10.15 pagi dimulakan dengan Kawalan Kehormatan Setempat daripada Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja.
Shoigu kemudian menandatangani buku pelawat sebelum mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri.
Tahun lalu, Anwar mengadakan lawatan ke Russia untuk menghadiri forum ekonomi dan berucap bersama-sama Presiden Vladimir Putin.
Pada 2023, Russia adalah rakan dagang kelapan terbesar Malaysia dalam kalangan negara Eropah, dengan jumlah dagangan dua hala meningkat 15.6 peratus tahun ke tahun kepada RM14.22 bilion (AS$3.1 bilion), berbanding RM12.3 bilion (AS$2.79 bilion) yang direkodkan pada 2022. – BERNAMA