Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Yayasan Peneraju menyasar untuk melahirkan 100,000 profesional Bumiputera bertauliah dalam jurusan kewangan, teknikal dan teknologi menjelang 2030.

Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, berkata sasaran yang dipercepatkan itu selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dengan memberi tumpuan dalam bidang utama termasuk sektor digital, kejututeraan perisian, reka bentuk semikonduktor dan keselamatan siber.

“Bermula tahun ini kita meningkatkan sasaran hampir tiga kali ganda untuk melahirkan profesional Bumiputera bertauliah merangkumi jurusan perakaunan setiap tahun hanya 700, tahun ini 2,000. Untuk pelajar lepasan sekolah Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebelum ini 500 kepada 1,500 tahun ini.

“Begitu juga dengan teknologi, kita akan meningkatkannya kepada 5,000 setahun berbanding dengan sebelum ini 3,000 hingga 4,000 untuk 10 tahun,” katanya kepada media selepas pelancaran skim pembiayaan fleksibel baharu Yayasan Peneraju di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju, Ibrahim Sani.

Rafizi berkata, kerajaan menyediakan peruntukan tahunan berjumlah RM150 juta kepada Yayasan Peneraju untuk melahirkan profesional Bumiputera dalam pelbagai bidang.

Justeru, katanya, pengenalan skim pembiayaan fleksibel baharu sehingga RM150,000 dengan sasaran memperluaskan skop inisiatif pembangunan bakat Bumiputera seawal lepasan SPM menjadi antara inisiatif yayasan itu.

“Untuk skim pembiayaan fleksibel baharu ini, Yayasan Peneraju memperkenalkan sistem berperingkat yang tersusun dengan tiga pilihan fleksibel iaitu Silver, Gold, dan Platinum yang direka untuk menyediakan bantuan kewangan bersasar keperluan kerjaya yang pelbagai.

“Skim pembiayaan baharu itu dapat memastikan akses yang lebih meluas dan sokongan yang lebih baik kepada bakat Bumiputera.

“Ia lebih daripada sekadar bantuan kewangan, ia mencerminkan komitmen untuk memperkasa individu dan mendorong transformasi yang bermakna,” katanya.

Skim pembiayaan terkini Yayasan Peneraju itu terbuka kepada warganegara Bumiputera Malaysia berusia 16 tahun ke atas, dengan surat tawaran yang sah atau bukti pendaftaran daripada Institusi Pembelajaran & Latihan yang Diluluskan Yayasan Peneraju (ALTIs).

Tiga pilihan fleksibel merangkumi Silver yang menawarkan pembiayaan sehingga RM15,000; Gold sehingga RM30,000; dan Platinum (sehingga RM150,000).

Bagi pakej Silver, penerima tidak perlu membuat pembayaran balik, manakala pakej Gold perlu bayar semula 50 peratus dari pembiayaan dan Platinum sebanyak 20 peratus.

Hanya pakej Gold dan Platinum membolehkan peserta membuat pembiayaan semula.

Menurut Yayasan Peneraju, pengambilan pertama memberi tumpuan kepada golongan dewasa yang bekerja dan tidak bekerja, menawarkan kursus teknologi dengan sasaran 7,200 penyertaan.

Skim pembiayaan itu juga akan diperluaskan kemudian untuk merangkumi kumpulan sasaran yang lebih luas, termasuk pensijilan dalam bidang perakaunan, perkhidmatan perniagaan dan kewangan, bagi memastikan lebih banyak peluang peningkatan kemahiran sepanjang tahun.

Sementara itu, Ibrahim berkata, dengan memberi kebebasan kepada bakat Bumiputera untuk memilih kursus dan penyedia latihan, Yayasan Peneraju membentuk tenaga kerja yang lebih inklusif, fleksibel dan bersedia untuk masa depan.-BH Online