PUTRAJAYA: PETRONAS akan kekal membayar dividen berjumlah RM32 bilion kepada kerajaan pada tahun ini sebagaimana komitmen yang dinyatakan mereka sebelum ini.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata tiada pengurangan pembayaran dividen PETRONAS kepada kerajaan untuk tahun ini.
“Saya fikir komitmen daripada PETRONAS masih pada tahap RM32 bilion. Kita berpandangan yang angka itu (RM32 bilion) akan dibayar untuk tahun ini.
“Namun seperti mana perniagaan-perniagaan yang lain, apabila ada kenaikan atau penurunan (keuntungan), apa sahaja kapasiti kewangan yang ada, kita lihat pada tahun depan kerana (dividen) ini berdasarkan prestasi tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pelancaran Laporan Pasaran Harta 2024 oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) di Institut Penilaian Negara (INSPEN) di sini, hari ini.
Sementara itu, ditanya mengenai cadangan jumlah dividen untuk tahun depan, Amir Hamzah berkata, ia bergantung kepada prestasi PETRONAS.
“(Untuk bayaran dividen tahun depan) kita lihat bagaimana prestasi kewangan PETRONAS,” katanya.
PETRONAS mencatatkan keuntungan bersih RM55.1 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024, merosot 32 peratus berbanding RM80.7 bilion sejajar dengan harga minyak yang rendah.
Pendapatannya dalam tempoh itu berjumlah RM320 bilion, susut tujuh peratus daripada tahun sebelumnya.
Dalam tempoh dikaji, PETRONAS mencatatkan perolehan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) yang lebih rendah sebanyak RM114.1 bilion, sejajar dengan keuntungan yang lebih rendah.
Syarikat minyak dan gas negara itu masih belum mengemukakan maklumat terkini berhubung komitmennya terhadap pembayaran dividen tahun ini.
Bagi tahun kewangan 2024, PETRONAS membayar dividen sebanyak RM32 bilion kepada kerajaan, lebih rendah berbanding RM40 bilion yang disumbangkan tahun sebelumnya.
Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB) dalam satu nota penyelidikan menjangkakan PETRONAS akan mengekalkan perbelanjaan modal sebanyak RM50 bilion atau lebih tinggi bagi tahun kewangan 2025.
Ia berkata, unjuran itu dibuat pada ketika PETRONAS terus mengutamakan pembiayaan bagi penyelenggaraan pengeluaran di sebalik jangkaan penurunan hasil pengagregatan gas Sarawak, yang dianggarkan tidak melebihi RM10 bilion.-BH Online