Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

HANOI: Lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Vietnam sempena Forum Masa Depan ASEAN 2025 (ASEAN Future Forum 2025) sangat signifikan bagi mempromosi dan mempertahankan objektif Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini.

Duta Besar Malaysia ke Vietnam, Datuk Tan Yang Thai, berkata ia juga dianggap sebagai platform untuk menyatakan pendirian dan pendapat Malaysia dalam perbincangan berkaitan masa depan ASEAN.

Beliau berkata, kehadiran Perdana Menteri pada acara anjuran Vietnam ini bukan saja mengukuhkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara, malah ia menggariskan keakraban dan perpaduan antara negara rantau ASEAN.

“Forum ini ialah platform penting untuk terus mengekalkan keterlihatan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN.

“Ia juga memberi peluang untuk Perdana Menteri menetapkan naratif serta isu-isu berkeutamaan bagi Malaysia, sebelum Sidang Kemuncak ASEAN nanti,” katanya pada sesi bersama media Malaysia di sini, hari ini, sempena lawatan kerja Perdana Menteri ke Vietnam.

Yang Thai berkata, Forum Masa Depan ASEAN itu adalah penganjuran kali kedua dan ia berjaya menarik tahap penyertaan tinggi daripada pihak berkepentingan yang relevan. 

Selain Perdana Menteri, antara tokoh yang dijangka menyertai forum itu termasuk Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon; Presiden Timor Leste, Jose Ramos-Horta selain Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra dan Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen yang membuat penampilan melalui mesej video.

Beliau berkata, Anwar akan menyampaikan ucaptama pada forum berkenaan yang secara umumnya akan memberi penekanan terhadap usaha untuk memperkukuh ASEAN dalam menghadapi tekanan kuasa besar, mengukuhkan agenda ekonomi digital ASEAN, memacu inisiatif hijau serta mengutamakan pembangunan mampan bagi menjamin masa depan negara-negara anggota ASEAN.

Malah, katanya, forum ini juga akan menjadi platform bagi wakil kerajaan dan bukan kerajaan membincangkan secara bersama perkara kritikal dan relevan bagi masa depan ASEAN.

Ia termasuk berkaitan trend global utama yang mempengaruhi ASEAN menjelang 2035, memperkukuh prinsip teras ASEAN untuk menghadapi cabaran masa depan, kerjasama serantau bagi pembangunan berdaya tahan dan lestari, mengurus teknologi baharu untuk menjamin keselamatan komprehensif dan peranan ASEAN dalam mengekalkan keamanan dunia.

“Selepas memberikan ucaptama pada Rabu ini (26 Februari), Perdana Menteri akan menyertai panel perbincangan bersama Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh; Perdana Menteri New Zealand dan Presiden Timor Leste,” katanya.

Malaysia dan Vietnam menjalin hubungan diplomatik sejak 1973 dan dua tahun lalu, kedua-dua negara meraikan ulang tahun ke-50 hubungan dua hala.

Perdana Menteri akan berada di Hanoi, Vietnam selama dua hari bermula esok dan Rabu atas jemputan dari Perdana Menteri Vietnam. Beliau akan diiringi Timbalan Menteri, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan; Ketua Setiausaha, Kementerian Luar Negeri, Datuk Seri Amran Mohamed Zin; Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid dan Ahli Parlimen Sri Gading, Aminolhuda Hassan.

Lawatan kerja itu adalah kali kedua Perdana Menteri berkunjung ke Vietnam dengan lawatan rasmi pertama pada Julai 2023.-BH Online