Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

REMBAU: Malaysia kekal komited dalam membantu memastikan krisis kemanusiaan termasuk isu pemerdagangan manusia di Myanmar, dapat dipulih dan keamanan dikembalikan demi masa depan rakyat negara itu.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata isu berkenaan menjadi jenayah antarabangsa yang memberi impak kepada negara jiran termasuk Malaysia.

“Walaupun piagam ASEAN mengatakan kita tidak boleh mencampuri hal ehwal negara lain, namun isu dalaman di Myanmar ini melangkaui sempadan.

“Kita terpaksa menerima etnik Rohingya yang lari untuk berlindung di negara kita dan setakat ini jumlahnya melebihi 200,000 orang.

“Ini bukan kita nak campur tangan dalam hal ehwal negara rakan tapi sudah menjadi masalah kepada negara ASEAN, jadi kita mahu pihak bertelagah menghentikannya,” katanya kepada media selepas menyampaikan sumbangan kepada pentadbir masjid dan surau peringat Parlimen Rembau di sini, hari ini.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chembong, Datuk Zaifulbahri Idris dan ADUN Kota, Suhaimi Aini.

Mohamad mengulas isu sejumlah rakyat Malaysia terperangkap di Myanmar dan Thailand akibat sindiket penipuan pekerjaan dan pemerdagangan manusia.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, keamanan di Myanmar penting untuk memastikan usaha Malaysia menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat negara terbabit berjalan lancar tanpa halangan mana-mana pihak berkepentingan.

“Kita banyak hantar bantuan ke sana tapi tak sampai, pihak berkepentingan bertelagah itu hal mereka tapi yang menjadi mangsa rakyat mereka,” katanya.

Sementara itu, Mohamad berkata, kerajaan sentiasa bekerjasama dengan kerajaan Thailand mengenai status pemerdagangan manusia di sempadan Myanmar dan Thailand.

“Alhamdulillah, 15 orang pulang hari ini dan semua selamat, ada 22 orang lagi dalam proses dibawa pulang.

“Kita berterima kasih kepada kerajaan Thailand yang bekerjasama memastikan isu pemerdagangan manusia ditangani secara berkesan.

“Kita pastikan rakyat yang terbabit diproses (disaring) dulu sebelum dibawa pulang,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berharap Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Amerika Syarikat (AS) sama ada di Malaysia atau AS segera diadakan bagi mengekalkan hubungan baik dengan ASEAN, khususnya membabitkan Malaysia dan AS.

“Kita menunggu maklum balas dari AS untuk menentukan tarikh, kita tak letakkan tarikh tapi kalau boleh secepat mungkin,” katanya.

Malaysia berusaha mengadakan sidang kemuncak khas itu dan dipersetujui pada peringkat Menteri-Menteri Luar ASEAN bagi memastikan ASEAN tidak dilihat condong ke mana-mana negara.-BH Online