KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini senada dengan Presiden Perancis, Emmanuel Macron untuk mempertingkat kerjasama dalam bidang pertahanan, ekonomi dan tenaga selain perdagangan, pelaburan, pelancongan dan juga kecerdasan buatan (AI).
Perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri susulan perbualan telefon bersama Presiden Perancis itu hari ini.
“Sewaktu panggilan telefon dengan Presiden Perancis hari ini, saya singkap perkembangan hasil pertemuan kami ketika menghadiri Sidang Kemuncak G20 di Rio De Janeiro, Brazil pada 19 November lalu.null
“Hari ini kami senada untuk mempertingkat kerjasama dalam bidang pertahanan, ekonomi dan tenaga selain perdagangan, pelaburan, pelancongan dan juga kecerdasan buatan (AI).
“Saya turut menyatakan penghargaan kepada Macron di atas sokongan diberikan terhadap pembangunan semula Gaza ekoran kekejaman rejim zionis Israel sebelum ini.” katanya melalui muat naik di platform X.
Tambah Perdana Menteri, beliau bersama Macron juga sepakat untuk mencari jalan penyelesaian dalam isu berkaitan Myanmar dalam mewujudkan keamanan di negara itu menggunakan pendekatan diplomatik yang bersesuaian.
“Dalam kesempatan yang ada, saya turut menyatakan kesediaan kerajaan menerima kehadiran Macron dan delegasi ke Malaysia Mei ini dalam usaha meningkatkan lagi hubungan antara kedua-dua negara,” katanya.-BH Online