Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SEREMBAN: Kerajaan negeri yakin kes kusta yang dikesan di dua perkampungan Orang Asli di Kuala Pilah, tidak akan menggugat sektor pelancongan di Negeri Sembilan.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata Kementerian Kesihatan (KKM) telah memberi penjelasan bahawa ia adalah kes terpencil dan keadaan juga terkawal serta tidak membimbangkan.

“KKM sudah memberi nasihat bahawa ia bukan satu wabak yang menakutkan, jadi tiada masalah.

“Tambahan pula, dua perkampungan Orang Asli itu jauh dari kawasan tumpuan pelancong.

“Bagi kita (kerajaan negeri), tiada masalah kerana KKM akan melaksanakan tugas menangani kes berkenaan. Jadi, ia tidak akan memberi kesan kepada sektor pelancongan negeri ini… orang ramai janganlah risau,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kalendar Acara Pelancongan Negeri Sembilan 2025, di sini, hari ini.

Terdahulu, KKM dilaporkan memberi jaminan situasi penyakit kusta di Kampung Orang Asli Chergun serta Kampung Orang Asli Guntur, Kuala Pilah, adalah terkawal dan pesakit tidak perlu lagi diasingkan kerana terdapat rawatan yang berkesan.

KKM sekali gus meminta orang ramai memberi kerjasama kepada pasukan kesihatan ketika aktiviti pengesanan kes dijalankan.

Setakat 19 Februari lalu, seramai 368 daripada 460 penduduk di kampung terbabit telah menjalani saringan kesihatan, dengan aktiviti pengesanan kes dan kontak serta langkah pencegahan dan kawalan jangkitan masih diteruskan.

Sementara itu, Aminuddin berkata, kerajaan negeri menetapkan sasaran menarik seramai 20 juta pelancong berkunjung ke Negeri Sembilan, tahun ini, selepas menerima kehadiran 17 juta pengunjung pada tahun lalu.

Beliau berkata, sasaran itu dianggap realistik berikutan terdapat banyak lokasi tumpuan pelancong yang boleh dikunjungi.

“Negeri Sembilan menjadi tumpuan pelancong domestik, namun tumpuan kita tahun ini adalah untuk membawa masuk seramai mungkin pelancong dari negara luar.

“Saya yakin sasaran menarik kunjungan 20 juta orang ini boleh dicapai, apatah lagi dengan adanya Kalendar Acara Pelancongan yang dilancarkan pada hari ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Aminuddin berkata, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah membuat pemantauan dan mengambil tindakan bersesuaian susulan aduan penduduk mengenai aktiviti pemprosesan bangkai babi secara haram di Kampung Baru Site A, Port Dickson.-BH Online