MANAMA (Bahrain): Ruang diberikan untuk berucap di hadapan lebih 400 ulama dan cendekiawan Islam pada Persidangan Dialog Intra-Islamik (IIDC) menjadi satu penghormatan terbesar kepada Malaysia, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menjadi satu-satunya ketua kerajaan untuk berucap pada persidangan berkenaan, Perdana Menteri berkata, ia menjadi bukti dan penghargaan terhadap usaha memartabatkan Islam yang dilakukan Kerajaan MADANI.
“Raja Bahrain (Sheikh Hamad Isa Al Khalifa) dan Sheikh Al-Azhar Al-Sharif (Profesor Dr Ahmad Muhammad Ahmad At-Tayyeb) memberi peluang (kepada saya) hadir dan memberi ucaptama pada persidangan IIDC.
“Persidangan ini mengundang semua tokoh Islam utama dunia dan dari semua mazhab, aliran untuk bermuafakat mengelakkan dari perseteruan dan ketegangan, menerima kenyataan bahawa ada beberapa hal yang kita berbeza pendapat, sama ada dalam bidang teologi atau amalan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media Malaysia sebelum mengakhiri lawatan rasmi di Bahrain atas jemputan Putera Mahkota Sheikh Salman Hamad Al Khalifa.
Semalam, Anwar ketika menyampaikan ucapan pada IIDC menegaskan semua ulama dan cendekiawan Islam bersatu dan menangani isu perpecahan mazhab dengan mengambil langkah tegas menyokong Palestin dan Syria.
Beliau turut menegaskan eksploitasi perbezaan dan perpecahan mazhab hanya melemahkan perpaduan politik serta menghalang kerjasama yang diperlukan dalam kalangan negara Islam.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau mendukung semangat kesatuan serta mengelak daripada permusuhan.
“Jangan kita mendabik dada, kononnya kita seorang yang benar, yang lain mahu dikafirkan, munafik, diperlecehkan, (sebaliknya kesatuan) ini gesaan semua ulama dunia.
“Jadi ini satu peringatan kepada semua umat Islam khususnya kita di Malaysia, jadi teladan yang baik, bawa semangat kesatuan. Boleh berbeza pendapat, tapi jangan membawa kepada permusuhan,” katanya.-BH Online