Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan menggariskan empat sebab utama mengapa kerajaan memutuskan untuk menggunakan pendekatan pajakan aset dalam perolehan 28 helikopter untuk kegunaan pelbagai agensi, berbanding pembelian terus.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata satu daripadanya adalah bagi menghadapi cabaran ketersediaan aset strategik negara yang rendah akibat kekangan kewangan kerajaan dan kesiagaan atau kebolehgunaan aset yang rendah.

Selain itu, beliau berkata pemindahan risiko kepada syarikat pemberi pajak, selain pendekatan pajakan adalah amalan yang turut menjadi pilihan dalam pengurusan aset strategik atau aset keselamatan di negara seperti Perancis, United Kingdom (UK), Kanada, Norway, Sweden, Australia dan negara jiran di rantau ASEAN.

Mohamed Khaled, berkata ketersediaan aset strategik adalah satu isu kritikal kepada negara dan terdapat banyak kritikan bahawa ketidakcukupan aset strategik itu disumbangkan oleh faktor ketidakupayaan kerajaan untuk memodenkan atau membeli aset strategik yang diperlukan itu secara terus.

“Jika kita berkeras untuk hanya memperoleh aset melalui kaedah pembelian secara terus, adalah tidak mustahil kita akan terpaksa menunggu terlalu lama atau mungkin kita sebenarnya tidak akan mampu mempunyai aset strategik yang diperlukan negara sampai bila-bila.

“Sedangkan jika kita memilih pendekatan pajakan, kerajaan tidak akan perlu membayar pendahuluan, membayar bayaran kemajuan atau mengeluarkan perbelanjaan modal (CAPEX). 

“Ini kerana di bawah kontrak pajakan helikopter ini, kerajaan akan hanya mula membayar komitmen apabila kita sudah menerima dengan sempurna helikopter yang dibekalkan kelak… itu pun bayaran berkenaan adalah secara bulanan mengikut kegunaan dan dipecahkan sepanjang tempoh 15 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Kementerian Pertahanan di Dewan Rakyat, hari ini.-BH Online