Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menghadap Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, di Bandar Seri Begawan, Brunei bagi membincangkan pelbagai isu penting terkait negara anggota ASEAN dan mendapatkan nasihat memandangkan Malaysia tahun ini menjadi Pengerusi ASEAN.

Perdana Menteri yang berlepas ke Brunei Darussalam hari ini memberitahu, sesi perbincangan itu turut disertai bekas Perdana Menteri Thailand merangkap Ketua Kumpulan Penasihat Tidak Rasmi Kepada Pengerusi ASEAN 2025, Thaksin Shinawatra.

“Tiba di Bandar Seri Begawan dan terus ke Istana Nurul Iman bagi menghadap Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan negara Brunei Darussalam.

“Perbincangan kami tentunya terarah kepada Kepengerusian ASEAN 2025 dan peri pentingnya mendapat nasihat dan panduan Paduka Seri Baginda Sultan, selaku pemimpin paling senior yang mempunyai pengalaman dan pengetahuan luas di kalangan pemimpin ASEAN lain,” katanya dalam satu hantaran di Facebook rasminya, hari ini.

Anwar memaklumkan dalam pertemuan itu, beberapa isu penting dibincangkan antaranya berkaitan situasi semasa di Myanmar. 

“Antara disentuh adalah terkait situasi di Myanmar, yang mana walaupun negara itu terikat dengan Konsensus Lima Perkara, namun segala ikhtiar harus digerakkan untuk meneruskan proses penglibatan dengan semua pihak berkepentingan.

“Kami juga menyatakan kebimbangan terhadap peningkatan masalah yang berpunca daripada ekonomi atau pasaran gelap, didominasi oleh penyeludupan dadah, pemerdagangan manusia, serta penipuan dalam talian atau scam yang berleluasa.

“Kami turut membincangkan solusi terbaik untuk mencapai trajektori positif dalam usaha menyelesaikan krisis di Myanmar serta memastikan semua Menteri Luar negara ASEAN sentiasa dimaklumkan mengenai perkembangan ini,” katanya.-BH Online