Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SEMENYIH: Kementerian Pendidikan (KPM) memperuntukkan RM69 juta untuk menyediakan kelas yang menggunakan kabin jenis Sistem Binaan Berindustri (IBS) sebagai antara langkah jangka pendek untuk menangani isu sekolah padat.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata mengambil kira pelaksanaan pendekatan itu di Selangor, penggunaan kabin menggunakan teknologi itu membabitkan 301 bilik darjah merangkumi 95 sekolah di negeri itu.

“Jangan bayangkan kabin (yang digunakan) kontraktor itu. Bukan (seperti itu), kita sudah ubah dan sesuaikan untuk jadikan kabin berkenaan lebih kondusif,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau hari pertama pembukaan sekolah bagi kalendar akademik sesi 2025/2026 di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pelangi Semenyih di sini, pagi tadi.

Turut hadir Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor, Dr Jafri Abu. 

Tambah Fadhlina, selain pembinaan sekolah baharu sebagai penyelesaian jangka panjang kepada isu sekolah padat, KPM turut melaksanakan beberapa intervensi jangka pendek lain termasuk penyuraian murid dan mengadakan dua sesi persekolahan.

“Intervensi (jangka pendek) kita ada pelbagai antara lain termasuk pembinaan kabin-kabin bagi kelas (padat dengan murid) bagi mengatasi isu kelas tidak kondusif. Kaedah penyuraian juga kita lakukan di kelas dan sekolah yang lain juga.

“Ini sebenarnya memerlukan komitmen ibu bapa jugalah. Yang lain-lain adalah melibatkan juga dua sesi (persekolahan). Misalnya sekolah ini (SK Taman Pelangi) kerana permintaannya juga agak tinggi. Saya difahamkan akan ada dua sesi juga.

“Kemungkinan besar sekolah ini akan beroperasi secara dua sesi. Jadi secara keseluruhannya, pendekatan ini dapat menyelesaikan sementara tatkala kita menunggu pembinaan sekolah-sekolah baharu yang lebih kondusif untuk masa hadapan,” katanya.

Dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), KPM meluluskan 103 projek pembinaan sekolah baharu membabitkan kawasan berkepadatan tinggi.

Selain itu, 261 sekolah diluluskan projek bangunan tambahan bagi sekolah yang mempunyai lebihan tanah.

Fadhlina memaklumkan 17 sekolah baharu akan dibuka tahun ini, sekali gus membuktikan komitmen Kerajaan MADANI untuk menyediakan kemudahan kondusif kepada rakyat.

“Begitu juga dengan komitmen kita untuk terus memastikan semua anak-anak kita dapat bersekolah dalam suasana yang kondusif.

“Kita ambil maklum dan kita beri sepenuh komitmen untuk selesaikan isu-isu seperti sekolah padat dan sebab itu dalam dua belanjawan (sebelum ini) Kerajaan MADANI telah menambah berkaitan pembinaan sekolah baharu.

“Jadi (mengikut) belanjawan sebelum ini, terdapat 44 sekolah (baharu) dalam belanjawan 2025 dan 26 sekolah dalam belanjawan sebelum ini (2024) dan kita harap berterusan, pembukaan dan pembinaan sekolah baharu ini, mengambil kira keprihatinan serta apa sering dibangkitkan oleh masyarakat berkaitan dengan sekolah padat ini,” katanya.-BH Online