Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kerajaan sentiasa memikirkan inisiatif baharu dalam meletakkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang menarik dan berdaya saing, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, salah satu inisiatif yang menarik minat pelabur adalah Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JSSEZ) Katanya, inisiatif itu mendapat sambutan yang sangat baik bukan saja dari Singapura tapi dari negara luar. 

“Kemudian perancangan kita dengan Thailand untuk membangunkan negeri utara Semenanjung iaitu Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu bersama dengan empat wilayah Selatan Thailand.

“Kita ada dua mesyuarat dan 18 hari bulan ini saya ada satu lagi pertemuan untuk merangka supaya pertumbuhan itu juga berlaku.

“Inisiatif ini tentunya berbeza daripada JSSEZ, tumpuan kita kepada negeri di utara Semenajung dan wilayah di selatan Thailand…supaya pembangunan ini lebih merata,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) mengenai usaha dan insentif untuk menjadikan Malaysia destinasi menarik pelabur. 

Anwar berkata, bagi pembangunan di Sarawak tumpuan kerajaan adalah hab kuasa untuk rantau.

“Seperti mana saya sebut di Parlimen minggu lalu, antara strategi yang kita masukkan dalam kerangka ASEAN ialah menjadikan Malaysia antara pusat untuk ASEAN Energy GRID daripada Vietnam, Laos, Cambodia, Thailand, Malaysia, Singapura sampai ke Indonesia dan Filipina. 

“Dari Sarawak disambungkan ke Sabah, ke Kalimantan dan juga ke Filipina. Ini di antara langkah-langkah yang boleh menjana

keyakinan,” katanya.

Anwar berkata, Malaysia turut mengambil langkah untuk menggalakkan Forest City sebagai satu pusat kewangan.

“Ia akan dijadikan pusat keluarga tunggal. Insentif baru untuk Forest City yang berikutnya akan dibuat di Kuala Lumpur. “Mungkin ini memanfaatkan Pusat Kewangan di Tun Razak Exchange (TRX),” katanya.- BH Online