PETALING JAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedia mempertimbangkan penyaluran dana tambahan bagi menyokong atlet luncur alpine negara, Aruwin Idami Salehhuddin, susulan pencapaian cemerlangnya di Sukan Musim Sejuk Asia ke-9 di Harbin, China.
Aruwin, 21, hampir meraih podium selepas menamatkan perlumbaan di tempat keempat dalam acara slalom wanita, sekali gus membuktikan potensi besar Malaysia dalam sukan musim sejuk.
Namun, kekangan pembiayaan dan akses kepada kemudahan latihan menjadi cabaran utama bagi atlet sepertinya.
Menurut Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, KBS memahami kesukaran yang dihadapi atlet sukan musim sejuk di Malaysia, yang mana kebanyakan pelaburan datang daripada ibu bapa serta usaha persendirian atlet.
“Majlis Olimpik Malaysia (MOM) telah meminta pertimbangan MSN (Majlis Sukan Negara) untuk lihat kalau boleh tambah dana kerana beliau sudah dapat tempat keempat dan mungkin dengan lebih banyak lagi sokongan, beliau boleh dapat podium,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Kejohanan Siri Golf Amatur Kebangsaan di Kelab Golf Saujana di sini, hari ini.
Hannah memaklumkan bahawa Aruwin menerima geran sebanyak RM50,000 daripada MSN pada tahun lalu, namun jumlah itu masih jauh berbanding pelaburan peribadi yang dibuat oleh atlet serta keluarga mereka.
“MSN sedang pertimbangkan permohonan berkenaan kerana bajet kita terhad.
“Bajet kita ditentukan setiap tahun oleh Kementerian Kewangan Oleh sebab itu, kita kena pertimbangkan betul-betul dan buat perancangan.
“Seperti tahun lepas, bajet khas kita memang kita bagi keutamaan kepada EPF (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja),” katanya.-BH Online