Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

MELAKA: Kerajaan Melaka memperuntukkan sebanyak RM85.3 juta tahun ini bagi pelaksanaan aktiviti pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam di negeri itu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata ia antara lain merangkumi perbelanjaan, emolumen penjawat awam dan guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA).

Katanya, selain itu, peruntukan terbabit itu juga digunakan untuk Tadika Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), pengurusan pensijilan halal, pembelajaran pelajar serta perbelanjaan pembangunan sekolah, masjid serta surau.

“Kerajaan negeri juga memperuntukkan sebanyak RM5.1 juta bagi Skim Bantuan Persediaan Persekolahan kepada asnaf, fakir miskin dan mualaf.

“Bantuan yang disediakan adalah untuk golongan yang sudah pun dikenal pasti dan mereka dipilih berdasarkan kelayakan,” katanya selepas merasmikan Majlis Perhimpunan Agensi Agama Islam Melaka di Auditorium Al-Azim, Bukit Palah di sini, semalam.

Turut turut hadir, EXCO Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman dan Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil.

Dalam pada itu, Ab Rauf menegaskan lima fokus utama perlu diambil perhatian dalam memantapkan lagi pentadbiran hal ehwal agama di negeri itu. 

“Antaranya, pengagihan bantuan kepada golongan sasar dan memperkasa kebajikan sosial,” katanya.

Sementara itu, Abd Rauf berkata, kadar zakat fitrah di Melaka tahun ini ditetapkan antara RM7 hingga RM22 bagi setiap individu Islam.

Katanya, bagi pengguna beras jenis Super Special Tempatan, kadar zakat ditetapkan adalah RM7 manakala pengguna beras jenis Super Special Import (RM15) dan beras Basmathi (RM22).

“Penetapan kadar terbabit ditetapkan menerusi persetujuan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Melaka baru-baru ini yang menetapkan kadar satu gantang Baghdad bagi beras Super Tempatan (Gred A) bersamaan 2.6 kilogram dan ditetapkan kepada tiga kadar,” katanya.-BH Online