Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALALUMPUR: Sebanyak 3.6 juta sudah diagihkan kepada 143 usahawan India di negara ini menerusi TEKUN Nasional bagi tahun ini, dua minggu selepas kerajaan MADANI mengumumkan peruntukan RM100 juta pada 14 Januari lalu.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R Ramanan berkata dana itu disalurkan menerusi Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) dan SPUMI Goes Big.

KUALALUMPUR: Sebanyak 3.6 juta sudah diagihkan kepada 143 usahawan India di negara ini menerusi TEKUN Nasional bagi tahun ini, dua minggu selepas kerajaan MADANI mengumumkan peruntukan RM100 juta pada 14 Januari lalu.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R Ramanan berkata dana itu disalurkan menerusi Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) dan SPUMI Goes Big.

“Saya akan memastikan dana RM100 juta ini disalurkan dengan terurus dan terancang. Justeru, setiap bulan saya sendiri akan mempengerusikan mesyuarat pemantauan bagi memperkasakan lagi sistem penyampaian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 14 Januari lalu, Ramanan yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga hal ehwal komuniti India negara ini mengumumkan peruntukan RM100 juta melalui TEKUN Nasional untuk memperkasa dan memperkukuh lagi agenda pemerkasaan ekonomi komuniti India.

Beliau mengumumkan demikian dalam sidang media khas sempena sambutan Ponggal. Sebanyak RM50 juta daripada dana itu masing-masing akan disalurkan melalui SPUMI dan SPUMI Goes Big.

Kedua-dua inisiatif berkenaan dijangka memanfaatkan hampir 5,000 usahawan India tahun ini bagi mengembangkan perniagaan dalam keadaan ekonomi yang semakin mencabar.

Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh berkata menerusi SPUMI, TEKUN akan memberikan pembiayaan dana antara RM1,000 hingga RM50,000 kepada mereka yang layak.

Katanya, melalui SPUMI Goes Big pula pemohon akan menerima sebanyak RM50,000 sehingga RM100,000 dengan tempoh kelulusan kurang daripada 14 hari.

“Usahawan India yang berminat mendapatkan dana itu boleh mengemukakan permohonan di laman sesawang TEKUN atau berkunjung ke mana-mana pejabat yang berdekatan,” katanya.

Ramanan berkata sejak diperkenalkan pada 2008, inisiatif TEKUN itu menyaksikan kejayaan luar biasa dengan lebih RM500 juta sudah diberikan kepada 26,804 usahawan India di seluruh negara.

Katanya, tahun lalu sebanyak RM60 juta disalurkan kepada 1,863 usahawan India menerusi SPUMI manakala skim SPUMI Goes Big yang dilancarkan pada tahun sama menyokong 287 usahawan dengan pembiayaan berjumlah RM12.6 Juta.

“Inisiatif itu lambang keprihatinan dan komitmen kerajaan untuk memastikan tiada individu atau kumpulan yang terpinggir dalam kemajuan ekonomi negara.

“Justeru, saya berharap masyarakat India mengambil peluang ini untuk meningkatkan taraf hidup sekali gus membolehkan mereka menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara secara signifikan,” katanya.

Ramaman dalam masa sama meminta usahawan yang mendapat pembiayaan agar membuat pembayaran balik secara teratur bagi membolehkan TEKUN membantu lebih ramai usahawan India pada masa depan.

“Jika tidak, ia akan menghalang peluang peminjam seterusnya kerana ini dana dalaman bukan dana baharu,” katanya.-BH Online