KUALA LUMPUR: Enam kluster utama dikenal pasti sebagai teras transformasi ekosistem halal Malaysia, termasuk pelaksanaan sistem pensijilan halal secara digital sepenuhnya bagi mempercepat dan mempermudahkan proses permohonan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata sistem pensijilan halal disasarkan mencapai 100 peratus digitalisasi menjelang tahun depan.
Beliau yang juga Pengerusi Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Penyelarasan Agenda Halal Malaysia berkata, kerajaan juga akan mengkaji semula dasar halal negara untuk ditambah baik selaras perkembangan global, selain mewujudkan 50,000 tenaga kerja halal kompeten menjelang 2030.
“Mekanisme pemantauan dan penguatkuasaan akan diperkukuh bagi menjamin kredibiliti pensijilan halal Malaysia, mengekalkan statusnya sebagai antara sijil halal paling diyakini pada peringkat antarabangsa.
“Melalui kluster membabitkan kajian terhadap dasar halal negara, penyelarasan antara semua pemegang taruh akan diperhebat bagi memastikan ekosistem halal yang lebih inklusif dan berdaya saing.
“Selain itu, sasaran 50,000 tenaga kerja halal kompeten menjelang 2030 akan menjadi keutamaan, memastikan Malaysia mempunyai modal insan berkualiti yang mampu mengukuhkan kepimpinan negara dalam industri halal,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Industri halal di negara ini menyaksikan pertumbuhan yang baik apabila indikator menunjukkan sumbangannya kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 7.7 peratus pada RM146.6 bilion hingga Disember lalu.
Hingga kini, tempoh masa yang diambil untuk memproses permohonan sijil halal adalah 30 hari dari tarikh dokumen permohonan diterima.
Seterusnya, Ahmad Zahid berkata, melalui kluster ketiga, pelan pembangunan industri halal akan memberikan tumpuan kepada sektor bernilai tinggi, antaranya farmaseutikal yang mana sektor halal dalam bidang itu saja dianggarkan bernilai AS$134 bilion (RM594 bilion), logistik dan teknologi makanan.
Beliau berkata, langkah itu bukan saja mengukuhkan ekosistem halal domestik, malah akan memacu pertumbuhan industri halal Malaysia yang kini menyumbang sekitar 7.7 peratus kepada KDNK negara.
“Keempat, bagi memastikan produk halal Malaysia dapat menembusi lebih banyak pasaran antarabangsa, strategi pemasaran baharu akan memanfaatkan platform digital dan e-dagang secara menyeluruh.
“Penganjuran Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) sebagai pameran halal terbesar dunia, akan terus dijadikan landasan strategik untuk menarik pelabur dan pembeli global, dengan sasaran meningkatkan eksport produk halal Malaysia kepada RM63.1 bilion menjelang 2025 berbanding RM40 bilion pada 2023.
“Malaysia perlu lebih agresif dalam menerokai pasaran halal baharu, khususnya di Asia Barat, Eropah, Amerika dan Afrika, bagi memastikan produk halal kita terus relevan serta kompetitif pada peringkat antarabangsa,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, pengurusan bakat dan tenaga kerja halal juga akan diperkasakan melalui latihan, pensijilan profesional, serta peluasan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) halal bagi melahirkan tenaga kerja yang berdaya saing pada peringkat global.
Beliau berkata, melalui kluster terakhir, penyelidikan dan pembangunan (R&D) halal akan terus diperkukuh, dengan kerjasama erat antara institusi akademik serta industri bagi menghasilkan inovasi baharu dalam produk dan perkhidmatan halal.
Katanya, lebih banyak pusat kecemerlangan halal akan diwujudkan di Malaysia bagi memacu inovasi dan kepakaran teknikal dalam bidang halal, sekali gus menjadikan Malaysia pusat rujukan utama dalam pembangunan teknologi halal global.
“Malaysia terus diiktiraf sebagai peneraju industri halal pada peringkat global, dengan nilai industri halal dunia dianggarkan mencecah AS$3.1 trilion (RM13.76 trilion) menjelang 2025.
“Namun, persaingan semakin sengit apabila lebih banyak negara mula mengambil langkah agresif untuk mengukuhkan kedudukan mereka dalam sektor ini.
“Dunia kini berlumba-lumba menguasai pasaran halal, dan Malaysia tidak boleh sekadar berpuas hati dengan pencapaian sedia ada.
“Sebaliknya, kita perlu bergerak lebih pantas, strategik dan inovatif untuk memastikan Malaysia menjadi pusat rujukan utama dalam semua aspek ekosistem halal global,” katanya.-BH Online