Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akan memulakan penerapan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) berasaskan al-Quran di sekolah agama kelolaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tahun ini. 

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata pada peringkat permulaan, guru akan diberikan latihan serta melaksanakan penilaian modul yang bersesuaian dalam memastikan agenda pemerkasaan ilmu berteraskan al-Quran mencapai objektif ditetapkan.

“Kita sasar untuk mula tahun ini yang mana kita ada 23 sekolah menengah agama di bawah JAIS dan kita akan mula lakukan pendekatan dengan latihan. 

“Kita tumpu di sekolah kelolaan JAIS dan lihat impak dan kesannya dulu. Kalau kesannya baik kita akan tambah baik pengajian dengan cadangan kepada guru-guru agama supaya memasukkan elemen-elemen dan memperkasakan pengajaran STEM kepada pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Penutup Festival Seni al-Quran Antarabangsa Restu 2025 dan Pelancaran Program STEM berasaskan al-Quran di Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor di sini, hari ini. 

Amirudin berkata perbincangan lanjut juga akan dilakukan dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi memasukkan silibus STEM berasaskan al-Quran dalam pengajaran di sekolah terbabit sekali gus menambah baik program sedia ada di bawah kelolaan kerajaan negeri.

“Di Selangor juga kita ada lima Maahad Integrasi Tahfiz Sains dan Teknologi Selangor (MITS), dan inisiatif ini selaras dengan hasrat yang telah diumumkan sebelum ini di mana kita ingin melahirkan penghafal al-Quran yang mahir dan fasih dalam bidang STEM,” katanya.

Program STEM berasaskan al-Quran yang dibangunkan oleh Yayasan Restu dirangka khusus untuk menghubungkan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik dengan nilai yang terkandung dalam al-Quran sekali gus menggalakkan pemahaman lebih mendalam mengenai kebesaran Allah melalui pendekatan saintifik.-BH Online