KUALA LUMPUR: Hak dan kebebasan rakyat untuk berhimpun tetap dipertahankan, cuma terdapat ‘peraturan’ yang munasabah ditetapkan bagi mengimbangi keperluan menjaga keselamatan dan ketenteraman awam.
Demikian penjelasan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang menjawab isu kononnya menghalang perhimpunan antirasuah yang berlangsung di ibu negara, baru-baru ini.
Beliau berkata, kerajaan tidak pernah berdolak-dalih mengenai kebebasan berhimpun sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Kerajaan hari ini kekal komited untuk mempertahankan dan menjunjung hak yang disebut dalam Perlembagaan termasuk dalam perkara kebebasan berhimpun sebagaimana termaktub dalam perkara 10 (1)(b) mengenai jaminan kebebasan berhimpun. Ini kerajaan tetap pertahankan.
“Pada masa sama, perkara 10 (2)(b) Perlembagaan Persekutuan menyebut kerajaan boleh melaksanakan sekatan yang munasabah jika ia terkait keselamatan negara dan ketenteraman awam. Sebab itu kedua-dua perkara ini perlu dibaca bersama,” katanya pada program Analisis Madani bertajuk Malaysia Aman: Kedaulatan dan Keselamatan yang disiarkan secara langsung di TV Al Hijrah malam ini.
Program yang dihoskan personaliti televisyen, Talib Husin itu turut menampilkan Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin sebagai tetamu.
Mengulas lanjut, katanya, apabila pihak polis mengeluarkan kenyataan supaya mematuhi peraturan ditetapkan, ia tidak bermakna kerajaan membantah untuk acara perhimpunan dijalankan.
“Bila pihak polis ‘communicate’, jangan anggap tak boleh berhimpun, ini seolah beri gambaran kerajaan tak bagi berhimpun. Sedangkan tak ada satu kalimah pun keluar dari saya, mengatakan tak boleh berhimpun.
“Contohnya apabila polis beritahu mengenai lokasi perhimpunan, jika lokasi itu misalnya ada ada tuan punya (premis milik orang lain), undang-undang memerlukan anda untuk dapatkan kebenaran dahulu,” katanya.
Beliau turut mencadangkan supaya dibuat pindaan terhadap undang-undang sedia ada bagi membolehkan perhimpunan aman dibuat tanpa memerlukan proses mendapat kelulusan yang panjang.
“Saya cenderung untuk katakan, undang-undang ini sifatnya dinamik. Undang-undang berkaitan perhimpunan aman ini dibuat pada 2012. Barangkali (boleh dicadangkan) supaya tak perlu ‘approval processs’, jika ada satu kawasan yang dijadikan tempat untuk buat perhimpunan.
“Perlu juga untuk penganjur masih memaklumkan pihak polis mengenai perhimpunan yang akan diadakan dan polis pun buatlah kawalan di kawasan terbabit. Mungkin kaedah ini saya lihat, boleh legakan (pandangan ramai yang anggap ada sekatan berkaitan perhimpunan),” katanya.-BH Online