KUALA LUMPUR: Kira-kira 80 peratus atau 40,631 daripada 58,225 kes jenayah yang dilaporkan di seluruh negara sepanjang tahun lalu sudah diselesaikan, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.
Bagaimanapun, katanya, berdasarkan Perangkaan Jenayah 2024, jumlah kes jenayah indeks yang dilaporkan meningkat sebanyak 11.1 peratus atau 5,811 kes tahun lalu berbanding 52,444 pada 2023.
Jenayah indeks membabitkan kesalahan kategori kekerasan seperti bunuh, rogol, samun tanpa senjata api (STSA), samun berkawan tanpa bersenjata api, samun bersenjata api, samun berkawan bersenjata api dan mencederakan.
Mohd Shuhaily berkata jenayah membabitkan samun berkawan bersenjata api dan mencederakan menunjukkan peningkatan tertinggi.
Katanya, jenayah samun berkawan bersenjata api merekodkan peningkatan sebanyak 10 peratus (33 kes) tahun lalu berbanding 30 pada 2023.
“Bagi jenayah kategori mencederakan pula menunjukkan peningkatan sebanyak 790 kes (21.4 peratus) tahun lalu dengan 4,483 kes direkodkan berbanding 3,693 kes bagi tahun sebelumnya,” katanya pada sesi libat urus bersama media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) JSJ Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus dan Ketua Penolong Pengarah setiap bahagian JSJ.
Mohd Shuhaily berkata jenayah bukan indeks bagi kesalahan membabitkan kategori harta benda seperti curi, curi motokar, curi motosikal, curi van/lori/jentera berat dan pecah rumah turut menunjukkan peningkatan.
Katanya, jenayah bukan indeks pada tahun lalu meningkat sebanyak 8,273 kes atau 13 peratus apabila72,077 kes direkodkan tahun lalu berbanding 63,804 tahun sebelumnya.
“Ibu kota menunjukkan peningkatan jenayah indeks tertinggi iaitu sebanyak 3,150 kes (69.4 peratus) direkodkan dan diikuti oleh Perak sebanyak 2,390 kes (66.9 peratus).
“Kedah dan Selangor pula menunjukkan penurunan kadar jenayah indeks iaitu masing-masing berkurang sebanyak 491 kes (10.8 peratus) dan 1,829 kes (13.3 peratus),” katanya.
Sehubungan itu, Mohd Shuhaily berkata JSJ akan mengambil langkah proaktif dengan menubuhkan pasukan khas bagi mengkaji statistik kadar naik turun jenayah di seluruh negara.
“Berdasarkan statistik yang dikeluarkan, semua negeri akan dipanggil untuk membincangkan langkah-langkah mengekalkan kejayaan dan mengurangkan kadar jenayah di negeri masing-masing,” katanya.
Katanya, hasil kajian berkenaan akan dibentangkan kepada Ketua Polis Negara sebelum disampaikan kepada pembuat dasar.-BH Online