Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Had laju di semua jalan Persekutuan di seluruh negara akan diturunkan daripada 90 kilometer sejam (km/j) kepada 80 km/j bermula esok hingga 2 Februari depan, sempena perayaan Tahun Baharu Cina.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, penurunan sementara had laju selama enam hari sepanjang Op Bersepadu itu bertujuan meminimumkan risiko kemalangan jalan raya.

“Sepanjang tempoh itu, kerja pembinaan dan penyenggaraan jalan yang tidak kritikal akan dihentikan sementara supaya tidak mengganggu aliran trafik, manakala kerja kecemasan yang perlu disegerakan demi keselamatan pengguna akan dirancang sebaiknya.

“Sekiranya perlu, laluan alternatif akan disediakan supaya tidak mengganggu perjalanan pengguna ke destinasi dituju,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, bagi memastikan kelancaran lebuh raya, Nanta turut mengarahkan syarikat Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) menghentikan sementara kerja pelebaran lorong di jajaran Sedenak-Kulai bermula 23 Januari hingga 3 Februari ini.

Sementara itu, Nanta menyarankan semua pengguna jalan raya bersiap siaga sebelum melakukan perjalanan termasuk menjaga kesihatan, berehat secukupnya sebelum dan ketika perjalanan supaya tidak mengalami keletihan melampau serta mengantuk semasa memandu.

Beliau turut mengingatkan pengguna memastikan kad debit, Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) dan Touch n’ Go mempunyai baki mencukupi bagi mengelakkan gangguan kesesakan kepada pengguna lain di plaza tol.

“Pengguna juga diingatkan memeriksa keadaan kenderaan termasuk tayar supaya siap sedia untuk perjalanan jauh dan memandu kenderaan secara berhemah, sentiasa bersabar serta mengikut undang-undang jalan raya.

“Sejajar semangat dan aspirasi Program MyJalan yang diterajui Kementerian Kerja Raya (KKR), semua pengguna jalan raya bertanggungjawab memastikan keselamatan diri dan penumpang serta keselamatan dan keselesaan pengguna lain,” katanya. – BERNAMA