Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

TUARAN: Kerajaan negeri diharap terus komited menangani masalah berkaitan perkhidmatan bekalan elektrik, selain mampu memenuhi peningkatan permintaan selepas penyerahan kuasa kawal selia bekalan itu di Sabah.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Fadillah Yusof berkata pihaknya sedia bekerjasama dan membimbing sekiranya kerajaan negeri memerlukan bantuan serta khidmat nasihat.

Beliau berkata, pihaknya juga komited dan menyokong agenda pembangunan penjanaan elektrik di Sabah bagi memastikan rakyat menerima manfaat, di samping menjamin sistem pembekalan elektrik lebih stabil dan terjamin. 

“Seperti mana dipersetujui bahawa jumlah siling indikatif subsidi daripada Kerajaan Persekutuan kepada Sabah Electricity bagi 2024 hingga 2030 adalah RM3.54 bilion.

“Ia merangkumi subsidi bahan api, subsidi solar berskala besar, subsidi sokongan tarif dan subsidi Tenaga Boleh Baharu (FiT).

“Berdasarkan maklumat dikemukakan Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS), beberapa projek penjanaan besar sedang dirancang.

“Antaranya pembelian tenaga dari Sarawak menjelang 2025, pembangunan loji jana kuasa baharu berkapasiti 100 Megawatt (MW) masing-masing pada 2026 dan 2027, serta pembangunan ladang solar berskala besar berkapasiti 100MW pada 2026,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Sabah Electricity Bersama Komuniti, Rumah Terbuka Krismas 2024 dan Tahun Baharu Cina 2025 di Dewan Sri Sulaman, hari ini.

Dalam pada itu, Fadillah berkata pihaknya percaya dengan pendekatan strategik kerajaan negeri bagi meningkatkan kapasiti penjanaan, masalah bekalan elektrik di Sabah dapat dikurangkan dan dapat mencapai 30 peratus rizab margin menjelang 2030.

“Kerajaan Persekutuan melalui PETRA memperuntukkan kos projek RM8.77 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) di mana tahun ini peruntukan RM561.4 juta disediakan. 

“Daripada jumlah itu, RM102.9 juta diperuntukkan untuk pelaksanaan dan penyiapan projek pengukuhan perkhidmatan bekalan elektrik di Sabah,” katanya.-BH Online