Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Hubungan Malaysia dengan China bukan hanya berlandaskan pelaburan dan perdagangan semata-mata, sebaliknya ia juga tertumpu kepada kefahaman dan nilai hormat terhadap budaya dan peradaban kedua negara, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, aspek keunikan hubungan Malaysia-China perlu dipupuk bersama-sama menerusi kerjasama ekonomi.

“Semasa perbincangan saya dengan Presiden China, Xi Jin Ping (baru-baru ini), kami membincangkan bukan sahaja mengenai hubungan ekonomi, perdagangan dan pelaburan, tetapi juga keperluan untuk membina persahabatan ini atas dasar kepercayaan dan saling menghormati.

“Penekanan China terhadap penghormatan budaya selaras dengan prinsip inklusiviti Malaysia yang memastikan setiap rakyat Malaysia mempunyai tempat di negara ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina peringkat global di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini, malam ini.

Acara sambutan itu dianjurkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan kerjasama Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan China sebagai usaha sama dalam mengukuhkan hubungan diplomatik kedua negara. 

Ketibaan Anwar yang mengenakan kemeja tradisional kaum Cina ‘Tangzhuang’ berwarna merah sekitar jam 8.30 tadi disambut meriah dengan kehadiran lebih 300 tetamu.

Dalam acara sama, pertunjukan dron diadakan di pekarangan KLCC sebagai simbolik sambutan. Semua tetamu kenamaan turut melakukan upacara menggaul Yee Sang.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing dan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

Selain itu, Menteri Kebudayaan dan Pelancongan China, Sun Yeli.

Anwar berkata, Festival Musim Bunga yang dikenali di Malaysia sebagai Tahun Baharu Cina menjadi bukti kepada perpaduan masyarakat majmuk Malaysia.

“Sambutan ini menyatukan rakyat dari pelbagai komuniti, budaya dan wilayah di seluruh Malaysia. Ia mencerminkan komitmen bersama kita terhadap keharmonian dan saling menghargai.

“Secara bersama, kita melangkah melampaui ketidaktentuan untuk merangkul masa depan yang penuh dengan perkongsian kejayaan dan matlamat bersama,” katanya.

Acara dimeriahkan lagi dengan persembahan tarian kebudayaan pelbagai kaum di Malaysia. -BH Online