Kuala Lumpur: Majlis Sukan Negara (MSN) sedang mempertimbangkan untuk memberikan insentif khas kepada skuad tenpin boling negara yang berjaya meraih dua pingat emas pada Piala Dunia Persekutuan Tenpin Boling Antarabangsa (IBF) di Hong Kong baru-baru ini, walaupun kejohanan itu tidak tersenarai dalam cadangan insentif oleh Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC).
Menurut Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, pertimbangan perlu dibuat terhadap pencapaian membanggakan itu, terutama membabitkan emas yang dimenangi Natasha Roslan dalam acara individu wanita serta pasukan lelaki yang terdiri daripada Timmy Tan, Ahmad Muaz Mohd Fishol, Muhammad Rafiq Ismail dan Tun Hakim Tun Hasnul Azam.
“Setiap persatuan sukan biasanya mengemukakan senarai kejohanan utama kepada MSN untuk pemberian insentif. Namun, apabila ada kejohanan tambahan yang tidak disenaraikan, MSN perlu menilai semula, tertakluk kepada kemampuan bajet,” katanya ketika ditemui di sidang media selepas pelancaran Liga Super Bola Jaring (NSL) hari ini.
Keputusan yang sama turut diambil MSN terhadap pencapaian skuad sepak takraw negara yang memenangi dua pingat emas pada Piala Dunia Istaf tahun lalu.
Walaupun kejohanan itu tidak disenaraikan untuk insentif Shakam, regu dan doubles emas negara tetap menerima insentif khas selepas kejayaan berkenaan dipertimbangkan semula atas budi bicara menteri.
Hannah menjelaskan bahawa perbincangan sedang berjalan bagi memastikan Natasha dan pasukan tenpin boling lelaki menerima penghargaan sewajarnya.
“Untuk Natasha dan boling lelaki, MSN sedang menilai. Sama seperti skuad sepak takraw lelaki sebelum ini,” katanya.
Pada kejohanan yang berlangsung dari 5 hingga 14 Januari, selain dua emas, skuad boling negara turut menyumbang dua pingat perak menerusi Rafiq dalam acara individu lelaki dan pasukan wanita yang dibarisi Natasha, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman, Sin Li Jane dan Gillian Lim.
Sebelum ini, Setiausaha Agung MTBC, Maradona Chok, menyatakan bahawa Shakam hanya diperuntukkan kepada kejohanan utama seperti Kejohanan Dunia dan Kejohanan Asia, seperti yang dipersetujui dalam cadangan awal kepada MSN.
Namun, melihat kepada prestasi konsisten atlet negara dalam kejohanan bertaraf antarabangsa, MSN dijangka mempertimbangkan penghargaan khas sebagai pengiktirafan kepada kejayaan berkenaan.-Harian Metro Online