Doha: Jurucakap Kementerian Luar Qatar telah mengesahkan bahawa gencatan senjata antara Israel dan Hamas telah bermula.
“Mengenai laporan apabila gencatan senjata akan bermula di Gaza, kami mengesahkan bahawa nama tiga tahanan yang akan dibebaskan hari ini telah diserahkan kepada pihak Israel.
“Mereka adalah tiga warganegara Israel, seorang daripadanya berkewarganegaraan Romania dan seorang lagi berkewarganegaraan British, dan dengan itu gencatan senjata telah bermula,” kata Majed al-Ansari seperti dilaporkan Al Jazeera.
Sementara itu, Pejabat Perdana Menteri Benjamin Netanyahu berkata pembebasan tiga tawanan yang ditahan di Gaza akan berlaku selepas 14:00 GMT.
Dalam satu kenyataan, ia juga berkata empat lagi tebusan wanita yang masih hidup akan dibebaskan dalam tempoh tujuh hari.
Fasa gencatan senjata awal selama enam minggu termasuk pengunduran tentera Israel secara beransur-ansur dari tengah Gaza.
Perjanjian itu memerlukan 600 trak muatan bantuan kemanusiaan dibenarkan masuk ke Gaza setiap hari sepanjang gencatan senjata dilaksanakan, 50 membawa bahan api, dengan 300 daripada trak diperuntukkan ke utara, di mana keadaan untuk orang awam amat kritikal.-MyMetro Online