KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan (MoT) akan memastikan platform digital mengadaptasi penggunaan teknologi bagi membolehkan pelanggan yang mahu membeli motosikal terpakai mendapat perkhidmatan telus.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata setakat ini aplikasi seumpama itu banyak tersedia bagi pembelian kenderaan terpakai yang mempunyai banyak platform pilihan.
“Bagi industri kereta terpakai di pasaran, pelanggan mempunyai banyak pilihan platform, tetapi untuk motosikal belum ada.
“Jadi kita mengalu-alukan pemilik aplikasi seperti ‘Rider Gate’ mengadaptasi penggunaan teknologi supaya pengguna dapat menjalani transaksi selamat dan terjamin.
“Misalnya pembeli boleh melihat dulu keadaan motosikal, butiran pemilikan dan apabila transaksi itu berlaku ia lebih lebih telus dan terjamin, inilah konsep yang kita mahu dalam urus niaga motosikal terpakai,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Rider Gate dilancarkan di Lanai@Malaysia Tourism Centre (MATIC) di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandamaran, Leong Tuck Chee; Pengerusi Ramssol Group Berhad, Datuk Abdul Harith Abdullah; Ketua Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Ramssol Group Berhad, Datuk Seri Cllement Tan.
Bagaimanapun, Loke berkata, setakat ini aplikasi digital untuk motosikal terpakai belum lagi diintegrasikan dengan sistem Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Sekarang ini ia belum diintegrasi dan pemiliknya memang pernah berbincang supaya ia diintegrasikan dan saya akan minta JPJ melihat kembali butiran perbincangan itu yang mahu aplikasi itu diselarikan dengan sistem MySikap.
“Tetapi setakat ini belum lagi (integrasi),” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, ketika ini proses pindah milik motosikal perlu dibuat secara manual dan berharap dengan penggunaan platform digital boleh menukarkan kepada kaedah secara talian.
“Mereka kena melakukan proses itu di JPJ dan kita harap selepas ini dapat melakukan secara atas talian kerana ia lebih memudahkan pengguna.
“Selain itu, kita juga harap dapat menambah baik perkhidmatan dan meningkatkan kerjasama strategi dengan syarikat swasta untuk urusan seperti pertukaran hak milik kereta tetapi sistem untuk motosikal belum tersedia.
“Jadi kita perlu lihat bentuk kerjasama strategik yang boleh dilaksanakan Dan saya akan bincang dulu dengan JPJ sebelum mengumumkan langkah seterusnya,” katanya.-BH Online