Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Proses penyaluran dana kepada Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional menerusi Belanjawan 2025 untuk memperkasakan usahawan komuniti India akan dipantau bagi memastikan penyampaian yang efisien.

Susulan itu, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R Ramanan, berkata pasukannya di Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan bekerjasama rapat dengan kepimpinan TEKUN Nasional bagi memastikan proses pelaksanaan berjalan lancar. 

“Pada Belanjawan 2025, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memperuntukkan RM30 juta melalui TEKUN Nasional untuk memperkasakan usahawan India dengan tambahan dana dalaman TEKUN Nasional sebanyak RM70 juta yang akan menyokong lebih 5,000 usahawan India di seluruh negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Beliau berkata, Kerajaan MADANI sentiasa komited menjayakan agenda pemerkasaan keusahawanan masyarakat India, malah memperuntukkan RM100 juta iaitu jumlah terbesar dalam sejarah melalui Skim Pembiayaan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) di bawah TEKUN Nasional sejak 2007.

Katanya, peruntukan itu satu lagi usaha strategik Kerajaan MADANI dalam memastikan usahawan komuniti India dapat memajukan perniagaan mereka.

Mengenai rekod cemerlang SPUMI, Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh, berkata skim itu membantu 26,804 usahawan India dengan penyaluran pembiayaan sebanyak RM500 juta sejak dilancarkan pada 2007. 

Beliau berkata, pada tahun lalu, sejumlah RM58.9 juta disalurkan kepada 2,408 usahawan India melalui skim berkenaan, manakala RM12.6 juta kepada 287 usahawan menerusi SPUMI Goes Big yang dilancarkan pada April 2024.

Sementara itu, beliau berkata, Kerajaan MADANI akan terus memperkenalkan inisiatif baharu untuk memberi manfaat kepada masyarakat India dengan sokongan padu daripada Perdana Menteri dan Menteri KUSKOP, Datuk Ewon Benedick. – BERNAMA