Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: UEM Lestra akan membekalkan tenaga elektrik hijau kepada ESR Group Ltd menerusi kerjasama strategik di bawah program Skim Pembekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS). 

Pertukaran dokumen pembekalan elektrik hijau itu disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, pada Majlis Pelancaran Portal MyEnergyStats yang dianjurkan Suruhanjaya Tenaga, hari ini.

Kementerian Peralihan Tenaga dan Sumber Asli (PETRA) dalam kenyataan memaklumkan bahawa UEM Lestra akan bertindak sebagai penjana Tenaga Boleh Baharu (TBB) untuk membekalkan tenaga elektrik hijau. Bekalan elektrik itu akan disalurkan melalui sistem grid utiliti kepada ESR Group Limited mengikut kadar dan tempoh yang dipersetujui bersama. 

Kerjasama pembekalan elektrik hijau antara UEM Lestra dan ESR Group ini adalah antara yang terawal berjaya dimeterai sejak pelancaran program CRESS pada 20 September tahun lalu. Selain itu, TNB Renewables juga telah menandatangani perjanjian serupa dengan Bridge Data Centre (BDC) bagi pembekalan 400 megawatt tenaga elektrik hijau melalui akses pihak ketiga, menjadikan usaha ini satu pencapaian penting dalam memacu komitmen kelestarian tenaga di negara ini.

Program CRESS diperkenalkan sebagai inisiatif kerajaan untuk memperluas pilihan dan akses kepada tenaga elektrik hijau bagi pengguna korporat di Semenanjung Malaysia. Langkah ini sejajar dengan komitmen Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) yang menjadi keutamaan syarikat korporat dalam aspek bekalan elektrik. 

Menurut PETRA, program ini memberi peluang kepada syarikat untuk memenuhi matlamat ESG mereka dengan menggunakan tenaga hijau secara langsung dari penjana TBB. 

Bagi meningkatkan keberkesanan Program CRESS, PETRA turut memperkenalkan beberapa penambahbaikan yang akan berkuat kuasa mulai 1 Mac ini. Penambahbaikan itu termasuk membuka penyertaan kepada pengguna elektrik sedia ada yang ingin mendapatkan tenaga hijau terus daripada penjana TBB. Selain itu, Caj Akses Sistem (CAS) akan dikekalkan untuk tempoh tiga tahun berdasarkan rangka kerja regulatori *Incentive Based Regulation* (IBR) dengan kadar perubahan CAS tidak melebihi 15 peratus daripada nilai semasa bagi setiap tempoh regulatori. 

PETRA yakin bahawa penambahbaikan ini akan menarik lebih banyak syarikat untuk menyertai Program CRESS, sekali gus meningkatkan akses kepada tenaga hijau bagi memenuhi matlamat ESG mereka. 

Kerjasama seperti ini bukan sahaja memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan mampan tetapi juga menyokong usaha global untuk memerangi perubahan iklim.-BH Online