Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

BAGAN DATUK: Kerajaan berhasrat mengiktiraf Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap 6, 7 dan 8 supaya setaraf dengan ijazah sarjana muda, ijazah sarjana dan doktor falsafah.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, cadangan itu dibawa ke peringkat Kabinet oleh Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong pada minggu lalu.

Menurutnya, pengiktirafan akreditasi itu kelak membolehkan lulusan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menikmati kadar gaji premium lebih tinggi berbanding sekarang.

“Saya beritahu kerana sebelum ini pandangan ibu bapa dan pelajar terhadap TVET adalah rendah.

“Bagaimanapun, pemikiran ini semakin berubah dengan adanya tawaran peluang pekerjaan yang lebih berpotensi dengan gaji premium,” katanya ketika berucap merasmikan Karnival Kerjaya MyFutureJobs di Dewan Serbaguna Datuk Abdullah Ahmad di Hutan Melintang, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid ketika ditemui selepas meninjau fasiliti Malaysia China Institute (MCI) di sini, berkata pengiktirafan SKM supaya setaraf dengan tiga ijazah berkenaan perlu mendapat perakuan dan kelulusan daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) terlebih dahulu.

Menyentuh mengenai MCI, Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata, MCI yang beroperasi di premis Giat MARA Bagan Datuk menjadi pusat persediaan untuk pelajar tempatan mempelajari asas bahasa Mandarin sebelum dihantar mengikuti latihan TVET di China.

Selain itu, katanya, institut berkenaan turut menawarkan kursus bengkel pengendalian dan penyelenggaraan kenderaan elektrik (EV) dengan kerjasama beberapa institusi TVET di China terutamanya Beifang.

“Ini juga termasuk forklift yang menggunakan bateri sepenuhnya serta kenderaan hibrid serta bengkel pengecatan menggunakan water base painting.

“Semuanya adalah teknologi baru yang menggunakan pendekatan bukan konvensional,” katanya.-BH Online