Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SEBERANG PERAI: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menjelaskan mengenai Titah Adendum berkaitan permohonan pengampunan Datuk Seri Najib Razak, menyanggah dakwaan kononnya kerajaan menyorok dokumen terbabit.

Perdana Menteri menegaskan dokumen berkaitan Titah Adendum itu dihantar kepada Pejabat Peguam Negara (AG) dan bukannya kepada beliau atau mana-mana ahli dalam Lembaga Pengampunan. 

Berucap pada Program Muhibbah MADANI Anjuran Yayasan Muhibbah Malaysia di Bandar Perda, di sini, Perdana Menteri berkata selepas surat itu diterima, Yang di-Pertuan Agong bertukar dan AG menyerahkan surat itu kepada Istana Negara bagi membolehkan Yang di-Pertuan Agong yang baharu, Sultan Ibrahim, membuat keputusan.

“Surat tu dihantar kepada peguam negara, bukan kepada saya, bukan kepada ahli lembaga pengampunan.

“Dan peguam negara kemudian bila Agong ganti, diserah kepada Istana Negara, kerana Agong yang pengerusikan (lembaga pengampunan). Itu keadaan dia, bukan kita sorok,” katanya.

Anwar bagaimanapun tidak menyebut nama AG terbabit, namun penjelasan itu merujuk kepada AG ketika itu adalah Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata beliau merasa perlu untuk memberi penjelasan berikutan banyak fitnah yang ditimbulkan berkenaan perkara itu.

Malah, beliau menegaskan sebelum ini enggan mengulas dan membahaskan berhubung Titah Adendum bagi membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah, mengambil kira ia di bawah bidang kuasa mutlak Yang di Pertuan Agong ke-17 yang tidak membolehkannya mengatasi institusi diraja.

“Soal (Titah) Adendum, di sini baru saya nak jawab… dua minggu saya tak jawab yang kita kena faham macam mana undang-undang kita.

“Siapapun, bila dia hukum masuk penjara, dia boleh rayu kepada Raja sebelum keputusan dibuat oleh Lembaga Pengampunan.

“Dalam kes Datuk Seri Najib, ada dikemukakan rayuan dan saya membawanya (agenda itu) dalam mesyuarat (Lembaga Pengampunan) tahun lalu untuk diteliti (Yang di-Pertuan Agong ke-16) dengan mengemukakan semua laporan berkaitan.

“Sebab itu kita tidak boleh bahas dalam Parlimen, apatah lagi yang mempengerusikan (sebelum ini) Yang di-Pertuan Agong dulu dan (Pengerusi Lembaga Pengampunan) sekarang (adalah) Yang di-Pertuan Agong (sekarang)…bukan sebab kita sorok,” katanya.

Jelasnya, keputusan Titah Adendum itu sekadar nasihat Peguam Negara kepada Yang di-Pertuan Agong yang lalu yang mana beliau hadir pada mesyuarat Lembaga Pengampunan ketika itu.

“Apa-apa keputusan (Titah Adendum) adalah keputusan mutlak Yang di-Pertuan Agong tetapi dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan,” katanya.

Sementara itu, Anwar menempelak sikap pemimpin pembangkang yang seolah-olah menyalahkan beliau berhubung isu Titah Adendum membabitkan Najib.

Katanya, beliau hairan mengapa dirinya dipersalahkan, sedangkan beliau sendiri pernah membentangkan rayuan Najib ke mesyuarat Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong ketika itu iaitu Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Ini dunia, ada orang kata Anwar harus ditangkap dan harus dihukum gantung. Ini politik sekarang ni, saya tak ada masalah, tapi apa dia yang PAS ni punya hentam Najib dari rambut sampai kaki, la (sekarang) ni junjung kerana politik,” katanya.

Sebelum ini Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil, yang juga Menteri Komunikasi berkata, kerajaan mengambil masa untuk mengiktiraf kewujudan Titah Adendum berkenaan kerana perlu berpandukan proses yang berlaku dalam mahkamah.

Isnin lalu, Mahkamah Rayuan Putrajaya membenarkan Najib memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah untuk memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum.

Titah Adendum berkenaan didakwa diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membolehkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah, bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sebelum ini pernah mendedahkan surat daripada Majlis Kesultanan Pahang yang mengesahkan wujudnya Titah Adendum yang membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

Menurut Muhammad Shafee, surat bertarikh 4 Januari 2024 itu dihantar kepada anak sulung Najib, Mohamad Nizar oleh Pengelola Bijaya Diraja Ke-Bawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman.

Najib sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022.

Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.-BH Online