GEORGETOWN: Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu MRT Corp mengendalikan projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara dengan tadbir urus cekap, bersih dan telus tanpa ketirisan sekali gus mengutamakan kepentingan rakyat.
Perdana Menteri bagaimanapun menyuarakan kepercayaan bahawa pelaksanaan projek LRT di Pulau Pinang yang sekian lama dinantikan itu dapat disegerakan berdasarkan rekod baik badan korporat itu dalam mengendalikan projek pengangkutan dalam negara.
“Pulau Pinang selaku hab semikonduktor yang penting harus menuntut penyertaan yang lebih, dengan syarikat luar yang melabur mahu (disediakan) infrastruktur baik termasuk pengangkutan… sebab itu sebab itu setelah menunggu sekian lama LRT diluluskan.
“Saya harap MRT Corp yang diamanahkan menjalankan kerja mereka, mengekalkan rekod mereka (iaitu) telus bersih, cekap, mengurus dengan baik tanpa apa-apa ketirisan dan saya percaya (projek ini) akan dapat disegerakan.
“Hari ini, bukan saja anak Pulau Pinang, tapi saya percaya rakyat seluruhnya menyaksikan satu lagi detik sejarah penting untuk memperkasa pengangkutan awam di Pulau Pinang,” katanya pada Majlis Pecah Tanah Projek LRT Laluan Mutiara Pulau Pinang di sini, hari ini.
Yang turut hadir Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Mohd Zarif Hashim.
Sebagai rekod, selepas Projek LRT Laluan Mutiara mendapat kelulusan Kabinet dan pembiayaan Kerajaan Persekutuan pada Mac 2024, MRT Corp dilantik sebagai pemaju serta pemilik aset selain bertanggungjawab menguruskan pelaksanaan pelbagai pakej projek berkenaan.
Projek Laluan LRT Mutiara bakal merangkumi jarak sejauh 29.5 kilometer (km) dan mempunyai 21 stesen terletak secara strategik, termasuk satu stesen provisional atau sementara di Pulau A Reklamasi Selatan Pulau Pinang (PSR-A).
Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengambil maklum isu dibangkitkan Menteri Pengangkutan berhubung keperluan melihat garis panduan yang menjaga kepentingan awam meliputi aspek perumahan, kemudahan asas dan keperluan pemindahan yang adil.
Beliau mengingatkan, pembangunan infrastruktur dan kemodenan Pulau Pinang harus dilaksanakan dengan mengambil kira serta mengekalkan aspek budaya dan identiti unik negeri itu.
Beliau berpandangan, Pulau Pinang memiliki keunikan tersendiri yang harus dipelihara, terutamanya dalam soal pembangunan Tapak Pesta Sungai Nibong yang turut termasuk dalam jajaran projek LRT Laluan Mutiara.
“Orang Pulau Pinang ini sangat sentimental. Mereka mahu kemajuan, tapi dalam masa yang sama mereka ingin kekalkan elemen lama yang mencerminkan identiti negeri.
“Jadi, sebarang pembangunan perlu diselaraskan supaya modernisasi ini selari dengan nilai budaya dan seni unik Pulau Pinang,” katanya.
Kata Perdana Menteri, beliau dimaklumkan kerajaan negeri sedang mempertimbang pelbagai pandangan daripada rakyat, termasuk cadangan untuk menyelamatkan sebahagian kawasan terbabit.
“Saya telah minta dan saya percaya Ketua Menteri berbincang bagaimana boleh kita membuat sedikit penyesuaian sekiranya perlu untuk menyelamatkan kalau tidak sepenuhnya, sebahagian daripada Tapak Pesta.
“Saya boleh beri jaminan perkara ini akan diberi pertimbangan serius,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut memberi jaminan kerajaan akan mempercepatkan projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) bagi memenuhi keperluan pelancongan dan industri yang semakin meningkat.
“Pembesaran lapangan terbang ini penting untuk menyokong tarikan pelabur dan penggiat industri, termasuk syarikat logistik.
“Ini selari aspirasi kita untuk menjadikan Pulau Pinang lebih moden tetapi tetap kaya dengan elemen budaya,” katanya.-BH Online