IPOH: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang menggiatkan usaha untuk memujuk rakyat Malaysia yang menjadi tenaga pengajar dalam Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di luar negara untuk kembali mengajar di Malaysia sekali gus menangani krisis penghijrahan cendekiawan atau brain drain.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata daripada lawatan ke luar negara termasuk Jepun, pihaknya mendapati ramai rakyat Malaysia menjadi tenaga pengajar di institusi berkaitan TVET di negara terbabit.
Sehubungan itu, katanya antara usaha dipertimbangkan adalah konsep mobiliti akademik yang membolehkan rakyat Malaysia terbabit turut dapat menyumbang kepada negara biarpun masih bekerja di luar negara.
“Kita anggap kita sering belajar dari negara yang mempunyai kehebatan teknikal seperti Jepun namun rupa-rupanya sedar atau tidak, ramai anak-anak Malaysia kita mengajar di universiti-universiti itu. Ia termasuk di institusi pengajian bersifat teknikal mereka yang ternama.
“Maknanya kepakaran mereka itu ada (berasal) dalam negara kita. Sebab itu kita tengah berunding, berbincang supaya mereka ini kembali mengajar balik di institusi-institusi kita terutama dalam bidang inovasi di politeknik,” katanya.
Zambry berkata demikian semasa menghadiri majlis penyerahan bagi projek menyiapkan baki kerja ubah suai kampus cawangan Politeknik Ungku Omar (PUO) di Bercham, hari ini.
Zambry hadir menyaksikan penyerahan projek itu daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) kepada KPT dan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), dengan projek yang membabitkan kos RM27.1 juta itu mula dibina pada tahun 2018 dan siap sepenuhnya pada 28 Disember 2024.
Kampus cawangan PUO itu mampu menempatkan seramai 1,200 orang pelajar yang diunjurkan bagi lima program pengajian iaitu Diploma Perakaunan, Diploma Pengajian Perniagaan, Diploma Kewangan, Diploma Kewangan Islam dan Diploma Pengurusan Peruncitan dengan kemasukan secara berfasa mulai Februari 2025 dan menerima kemasukan sepenuhnya pada Ogos tahun ini.-BH Online