KUALA LUMPUR, 11 Januari- Kerajaan sedia memperhalus cadangan henti sepenuhnya penggunaan bahan industri berasaskan asbestos di negara ini.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ia berikutan risiko khususnya terhadap alam sekitar dan memberi kesan sampingan terhadap kesihatan.
“Kita akan lihat sebab kita tahu tentang risiko dan kesan kepada kesihatan dan bagaimana perkara ini dinilai ataupun diuruskan dalam perundangan dan dasar kita sedia ada.
“Sekiranya ada jurang mungkin perlu untuk kita tambah baik. JADI perkara tersebut sedang diteliti di peringkat kementerian menerusi bahagian pengurusan alam sekitar dan juga Jabatan Alam Sekitar (JAS),” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas melancarkan buku berjudul ‘Saving the Planet : Climate and Environmental Lessons from Malaysia and Beyond’ di ibu negara.
Dalam pada itu Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam sedang mengkaji bentuk tindakan yang akan diambil berikutan penggunaan asbestos masih meluas di negara ini.
Kali terakhir cadangan henti penggunaan asbestos dibentangkan dan dilaporkan media adalah pada 2011.
Kerajaan ketika itu melalui Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) sedang menyediakan draf undang-undang bagi menghentikan sepenuhnya penggunaan bahan berkenaan di negara ini.
Asbestos adalah bahan kimia toksik yang boleh menyebabkan kanser dan penggunaannya telah diharamkan di 69 negara termasuk Jerman, Australia, Jepun dan Thailand setakat Oktober 2022.-BH Online