Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

JOHOR BAHRU: Sesi libat urus bersama 8,000 pemegang taruh sektor pendidikan tinggi akan diadakan bagi mendapatkan pandangan serta maklum balas mengenai Pelan Pendidikan Tinggi 2025-2035 yang sedang dirangka. 

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata sesi libat urus itu penting bagi mendapatkan input terbaik untuk hala tuju pendidikan tinggi negara dalam tempoh 10 tahun akan datang mengikut keperluan semasa.

“Tahun ini amat penting kerana kita akan bentangkan pelan jangka masa panjang pendidikan tinggi negara untuk tempoh 10 tahun akan datang.

“Oleh itu, jawatankuasa mengenai pelan pendidikan ini telah pun mengadakan beberapa siri perbincangan libat urus membabitkan 8,000 pemegang taruh bagi mendapatkan maklum balas serta pandangan mereka.

“Ia proses panjang dalam usaha menyediakan pelan pendidikan tinggi yang mempunyai impak yang baik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perutusan Tahun Baharu 2025 di Dewan Sultan Iskandar, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud, Ketua Setiausaha KPT, Datuk Seri Dr Zaini Ujang dan Naib Canselor UTM, Dr Mohd Shafry Salim.

Pada 16 Disember lalu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dilaporkan sedang merangka Pelan Pendidikan Tinggi 2025-2035 berikutan pelan sedia ada bakal berakhir hujung tahun depan.

Zambry dilaporkan berkata, pelan itu dirangka dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk pakar tempatan menerusi satu jawatankuasa khas dalam menentukan hala tuju pendidikan tinggi dalam tempoh 10 tahun akan datang mengikut keperluan semasa.

Mengulas lanjut Zambry berkata, proses mendapatkan maklum balas daripada pemegang taruh pendidikan tinggi seperti institusi pengajian tinggi awam (IPTA), institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), tenaga pengajar dan badan bukan kerajaan (NGO) dijangka mengambil tempoh yang agak lama.

“Pelan yang sedang dirangka ini bakal menjadi agenda terbesar KPT kerana membabitkan dasar masa depan pendidikan tinggi negara,” katanya.

Berdasarkan Kad Laporan KPT 2024, KPT berjaya mencapai lima fokus utama bagi 2024 iaitu penyediaan bakat terbaik negara, pengukuhan ekosistem penyelidikan dan inovasi, pelaksanaan pendekatan baharu program pemindahan dan perkongsian ilmu, pengantarabangsaan pendidikan tinggi dan pemantapan ekosistem pemboleh daya.-BH Online