MELAKA: Melaka berjaya mencapai sasaran meraih pelaburan RM5 bilion tahun lalu hasil komitmen berterusan jabatan serta agensi berkaitan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata menerusi usaha Perbadanan Melaka (MCorp), negeri itu mencatatkan nilai pelaburan memberangsangkan yang mana RM0.8 bilion adalah pelaburan asing manakala RM4.2 bilion pelaburan domestik.
Pencapaian yang diperoleh dalam tempoh suku tahun ketiga pada tahun lalu itu adalah satu kejayaan membanggakan kerana ia secara tidak langsung mempamerkan keyakinan pelabur asing terhadap potensi ekonomi serta pembangunan negeri ini.
“Bergerak ke hadapan, saya melihat pelbagai usaha perlu terus diperkasakan bagi menarik minat pelabur khususnya membabitkan sektor pelancongan, memandangkan pada September ini, Melaka akan terus menjadi tumpuan dunia menerusi sambutan Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025.
“Untuk itu, saya mahu MCORP terus optimis mempergiatkan promosi pelaburan sekali gus mewujudkan iklim pelaburan yang kondusif bagi menarik lebih banyak pelabur masuk ke Melaka,” katanya malam tadi.
Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azhar Arshad dan Ketua Pegawai Eksekutif MCorp, Datuk Mohd Yusof Abu Bakar.-BH Online