Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SHAH ALAM – Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan 327 sampel positif virus ‘human metapneumovirus’ (HMPV) sepanjang 2024 yang menunjukkan peningkatan berbanding 225 pada 2023.

KKM dalam satu kenyataan berkata, HMPV merupakan salah satu jangkitan saluran pernafasan disebabkan virus dalam keluarga Pneumoviridae.

“Ia bukan satu penyakit baru. Di Malaysia, jangkitan HMPV tidak wajib dilaporkan atau dinotifikasikan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342].

“Bagaimanapun, jangkitan saluran pernafasan akan terus wujud dalam komuniti dan kita perlu sentiasa berwaspada menghadapinya.

“Orang ramai dinasihatkan agar proaktif menjaga kesihatan diri serta mencegah jangkitannya kepada orang lain terutama di kawasan yang tertutup dan sesak,” katanya pada Sabtu.

Sebelum ini dilaporkan, China kini berdepan ancaman satu lagi virus menyerang sistem pernafasan iaitu HMPV yang semakin menular selepas lebih lima tahun kes pertama Covid-19 dilaporkan di negara Asia Timur itu.

Di tengah-tengah lonjakan kes sejak pertengahan Disember, pihak berkuasa kesihatan di seluruh dunia bertindak memberi amaran tentang wabak tersebut dan menekankan tentang langkah penjagaan kebersihan.

Mengulas lanjut, KKM berkata, peningkatan jangkitan saluran pernafasan akut pada hujung dan awal tahun adalah fenomena yang dijangka sepenuhnya selaras dengan pertambahan yang turut dilaporkan di negara lain terutamanya bermusim sejuk seperti China.

“Sebagai langkah pencegahan dan kawalan penularan jangkitan, KKM sentiasa membuat pemantauan dari semasa ke semasa, sama ada di dalam dan luar negara, termasuklah kuman yang menyebabkan Covid-19, influenza serta jangkitan saluran pernafasan lain.

“Mereka yang mengalami gejala berpanjangan atau semakin teruk perlu segera mendapatkan pemeriksaan dan rawatan di fasiliti kesihatan kerajaan atau swasta terdekat,” ujarnya.

Dalam pada itu, KKM berkata, situasi Covid-19 masih terkawal, tiada peningkatan mendadak kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada kematian dilaporkan sejak 25 April 2024.

Tambahnya, sehingga kini, varian SARS-CoV-2 yang sedang menular di Malaysia masih merupakan varian Omicron dan subvariannya, malah tiada kes baharu dilaporkan dari 24 November 2024 hingga hujung tahun lalu.-Sinar Harian