Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sudah mengarahkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) membuat siasatan lanjut dan menilai semula prosedur operasi standard (SOP) di semua surau serta masjid di bawah seliaan agensi berkenaan.

Menterinya, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata arahan itu dikeluarkan susulan kes individu bukan Islam yang mengalami gangguan mental membuat kacau di sebuah masjid di Taman Tun Dr Ismail (TTDI), kelmarin.

Katanya, jika perlu SOP keselamatan di masjid dan surau juga perlu ditambah baik bagi menghalang kejadian sama daripada berulang kembali. 

“Kita serahkan kepada pihak polis untuk membuat siasatan lanjut, tetapi saya sendiri sudah mengarahkan Pengarah JAWI yang baharu, Hanifuddin Roslan untuk membuat siasatan dan pada masa sama, melihat apa yang boleh ditambah baik untuk aspek keselamatan.

“Buat masa ini, saya perlu lihat dulu laporan pihak masjid dan JAWI, kerana timbul persoalan bagaimana individu itu boleh terlepas masuk ke dalam masjid tanpa pengetahuan walaupun ada pengawal keselamatan,” katanya selepas merasmikan Kompleks Akademik Kolej Universiti Antarabangsa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (UCMI), hari ini. 

Sebelum ini, tular di media sosial satu klip video berdurasi dua minit 46 saat yang memaparkan seorang lelaki membuat kacau ketika solat Subuh di masjid berkenaan. 

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood, berkata lelaki itu mengganggu jemaah dan turut merosakkan satu unit televisyen serta satu kerusi dalam masjid pada jam 5.40 pagi.

Katanya, suspek yang mengalami masalah mental sejak April 2022 dan rawatan terakhir pada 16 Januari 2023 di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sudah ditahan bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, ditanya sama ada pihak JAWI ada menyediakan pengawal keselamatan di semua masjid seliaannya, Mohd Na’im berkata, ia di bawah tanggungjawab masjid terbabit. 

“Tak semua masjid bawah pengawasan JAWI ada pengawal keselamatan, tetapi kita maklum, TTDI adalah kawasan elit dan mungkin mereka mempunyai kekuatan kewangan untuk mengambil pengawal keselamatan sendiri,” katanya. 

Mohd Na’im juga berharap semua pihak tanpa mengira bangsa dan agama menghormati rumah ibadat agama lain dan tidak menimbulkan sebarang provokasi yang boleh menyebabkan atau mencetuskan kemarahan. 

“Kita kena berhati-hati dalam perkara ini, saya harap pihak polis dapat jalankan siasatan lanjut serta memastikan kebenaran dapat ditegakkan,” katanya.-BH Online