Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUANTAN: Kerajaan Pahang mengambil inisiatif menaja makan tengah hari kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 yang menduduki ujian bertulis kecuali yang tinggal di asrama, bermula hari ini hingga 6 Feb depan.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata usaha berkenaan sebagai tanda sokongan kerajaan negeri kepada anak-anak Pahang yang sedang berjuang demi masa depan mereka.

“Saya turut dimaklumkan bahawa Menteri Pendidikan (Fadhlina Sidek) amat menghargai inisiatif ini dan turut menyampaikan ucapan terima kasih serta salam kepada kita semua di negeri Pahang.

“Saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan selamat maju jaya kepada semua calon SPM 2024. Semoga anak-anak semua diberi ketenangan, kekuatan dan kebijaksanaan sepanjang menghadapi peperiksaan ini,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebook hari ini.

Beliau turut mengajak semua pihak bersama-sama mendoakan calon SPM agar dapat menduduki peperiksaan dengan tenang serta diberikan kesihatan yang baik.

Sebanyak 20,401 calon dari negeri ini menduduki ujian bertulis di 259 pusat peperiksaan dengan 104 calon berkeperluan pendidikan khas (CBPK) terdiri daripada kategori kurang upaya penglihatan, pendengaran, pertuturan, fizikal dan masalah pembelajaran.– BERNAMA