KUALA LUMPUR: Malaysia merekodkan 88.3 juta penumpang udara bagi 11 bulan pertama 2024, sekali gus meletakkan negara di landasan tepat untuk mencapai unjuran trafik penumpang Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) bagi sepanjang tahun, iaitu antara 95.4 juta hingga 97.6 juta penumpang.
Menurut MAVCOM dalam kenyataan hari ini, trafik penumpang udara bagi November 2024 mencapai lapan juta penumpang, menunjukkan peningkatan kukuh sebanyak 15.8 peratus tahun ke tahun berbanding November 2023.
Bagaimanapun, MAVCOM berkata terdapat sedikit penurunan sebanyak 0.5 peratus bulan ke bulan berbanding Oktober 2024.
“Jumlah penumpang pada November mencatatkan 88.7 peratus daripada trafik yang direkodkan pada November 2019, kekal dengan trend pemulihan yang konsisten yang dilihat sepanjang tahun 2024.
“Pertumbuhan tahun ke tahun ini didorong terutamanya oleh lonjakan dalam perjalanan antarabangsa, disokong oleh pembukaan laluan baharu dan peningkatan kapasiti tempat duduk.
“Manakala, penurunan kecil bulan ke bulan mencerminkan penyesuaian perjalanan bermusim, di mana pengguna penerbangan cenderung menunda perjalanan untuk memanfaatkan cuti sekolah pada bulan Disember,” katanya.
MAVCOM berkata, trafik penumpang udara domestik pada November 2024 menyumbang 47.5 peratus daripada jumlah keseluruhan trafik penumpang udara, dengan 3.8 juta penumpang.
Ia berkata, angka ini menunjukkan peningkatan 10.9 peratus tahun ke tahun berbanding November 2023, walaupun terdapat penurunan 1.6 peratus bulan ke bulan berbanding Oktober 2024.
Menurutnya, trafik penumpang domestik mencapai 83.3 peratus daripada paras yang dicatatkan pada November 2019, mencerminkan pemulihan yang stabil dalam sektor penerbangan.
“Trafik penumpang udara antarabangsa mencatatkan 4.2 juta pada November 2024, mencerminkan peningkatan sebanyak 20.7 peratus tahun ke tahun dan kenaikan 0.5 peratus bulan ke bulan. Jumlah trafik ini mencapai 94.1 peratus daripada trafik penumpang antarabangsa yang direkodkan pada November 2019.
“Pertumbuhan ini didorong secara seimbang oleh rantau ASEAN dan bukan ASEAN, masing-masing menyumbang 2.1 juta penumpang. Trafik ASEAN merekodkan peningkatan 13.5 peratus tahun ke tahun, manakala trafik bukan ASEAN melonjak dengan ketara sebanyak 28.9 peratus tahun ke tahun,” katanya.
MAVCOM berkata, lapangan terbang utama di Malaysia turut menunjukkan pertumbuhan tahun ke tahun yang memberangsangkan pada November 2024 bagi laluan domestik dan antarabangsa.
“Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mencatatkan peningkatan 18.2 peratus, diikuti oleh Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PEN) dengan kenaikan 13.2 peratus, dan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (JHB) dengan kenaikan 14.9 peratus.
“Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LGK) merekodkan pertumbuhan 8.1 peratus, manakala Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KCH) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (BKI) masing-masing mencatatkan peningkatan sebanyak 9.7 peratus dan 12.8 peratus.
“Seterusnya, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (SZB) mencatatkan pertumbuhan YoY tertinggi, iaitu sebanyak 42.1 peratus,” katanya.
Pengenalan laluan antarabangsa baharu pada November adalah salah satu pemacu utama keseluruhan pertumbuhan trafik.
Laluan baharu ini termasuk Kuala Lumpur ke Dalat (Vietnam), Nairobi (Kenya), Sri Vijaya Puram (India), dan Chiang Rai (Thailand), serta Kota Kinabalu ke Kota Kaohsiung (Taiwan) dan Shantou (China).-BH Online