KOTA BHARU: Kerajaan akan terus memberi perhatian kepada usaha mengatasi kadar kemiskinan di Kelantan melalui inisiatif kesejahteraan rakyat dan penyelarasan bantuan langsung, kata Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Beliau berkata, agenda pembasmian kemiskinan di Kelantan mendapat perhatian dan menjadi fokus utama kerajaan melalui pelbagai inisiatif yang dilaksanakan.
“Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri bertanggungjawab menyediakan dan memantau data kemiskinan bagi memastikan agensi pemberi bantuan dapat menyampaikan bantuan secara langsung kepada Ketua Isi Rumah (KIR) yang berstatus miskin dan miskin tegar,” katanya.
Beliau turut menjelaskan, antara inisiatif kesejahteraan rakyat yang dilaksanakan bersama agensi pemberi bantuan di negeri ini adalah program Didik Kasih Madani (dKasih) dan program Kasih Ihsan Madani (i-care4U), yang bertujuan untuk mencapai matlamat sifar miskin tegar.
“Seiring dengan inisiatif itu, usaha seperti aktiviti pemutihan dan kerjasama pasukan petugas (task force) peringkat agensi bersama agensi kerajaan di peringkat negeri menunjukkan hasil yang positif dalam memperincikan keperluan untuk meningkatkan pendapatan isi rumah.
“Usaha ini diharapkan mampu membantu mereka keluar daripada status miskin tegar,” katanya ketika berucap di Majlis Aspirasi Kepimpinan KSN bersama Anggota Perkhidmatan Awam Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim, di sini, hari ini.-BH Online