PUTRAJAYA: Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar mengajak 1.3 juta penjawat awam termasuk ketua setiausaha, ketua pengarah dan ketua agensi perkhidmatan awam untuk berganding bahu menjadikan perkhidmatan awam sebagai unggul, cekap dan tangkas.
Menerusi catatan di Facebook sempena hari terakhir 2024 hari ini, Shamsul Azri berharap segala perancangan dan agenda reformasi perkhidmatan awam yang telah direncanakan berjalan dengan jayanya.
“Saya pastinya tidak mampu dan tidak boleh bersendirian dalam usaha mengangkat martabat dan melaksanakan reformasi perkhidmatan awam ke tahap yang lebih cemerlang,” katanya sambil menzahirkan penghargaan kepada seluruh anggota perkhidmatan awam yang memberikan sokongan sejak beliau dilantik ke jawatan itu pada 7 Ogos lalu.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada sahabat, rakan sekerja dan kakitangan yang sentiasa menyokong, memberi nasihat, idea serta pandangan.
“Dan sesungguhnya saya bersyukur dan menginsafi dengan amanah yang digalas sebagai seorang pemimpin untuk menakhodai bahtera lebih 1.3 juta warga penjawat awam,” katanya.
Sambil mensyukuri nikmat kesihatan, kudrat dan rezeki daripada Allah SWT dalam menunaikan tanggungjawab beliau sebagai Ketua Setiausaha Negara ke-16, anak kelahiran Pekan, Pahang itu turut bersyukur kerana masih diberi peluang berbakti kepada ibu serta melaksanakan peranan sebagai suami dan bapa.
“Syukur saya masih mampu menunaikan amanah sebagai seorang anak kepada bonda tercinta. Syukur saya masih mampu menunaikan tanggungjawab sebagai seorang suami dan ayah bagi membina keluarga saya yang sentiasa mendukung,” katanya.
Mengimbas episod, kenangan, kisah serta liku-liku pengalaman sepanjang 2024, Shamsul Azri berkata ia mengajar beliau tentang rasa syukur.
“Semoga kisah dan peristiwa sepanjang 2024 ini dijadikan panduan serta pedoman untuk kita semua membuka lembaran baru di tirai jendela 2025 nanti,” katanya yang mempunyai pengalaman selama lebih 30 tahun dalam perkhidmatan awam.-BH Online