KUCHING: Kerajaan negeri berkata syarikat penerbangan MASwing secara prinsipnya sudah dimiliki Sarawak, cuma perjanjian mengenainya belum ditandatangani.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata ini kerana juruaudit kedua-dua pihak iaitu kerajaan Sarawak dan Malaysia Aviation Group (MAG) belum memuktamadkan nilai pengambil alihan aset MASwings.
“Kita (Kementerian Pengangkutan Sarawak) dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) pada dasarnya sudah bersetuju, cuma kita belum boleh menandatangani perjanjian pengambilalihan.
“Ini kerana pihak ketiga iaitu juruaudit belum mencapai kata putus berkenaan nilai pengambilalihan aset MASwings.
“Kerajaan Sarawak ada nilainya sendiri dan mereka juga meletakkan nilai tertentu,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Pecah Tanah Chia Hia Khor Moral Uplifting Society Sarawak (CHKMUS) di sini, hari ini..
Beliau berkata demikian ketika mengulas pertanyaan media mengenai status terkini pengambilalihan MASwing.
Tambah Abang Johari, isu nilai pengambilalihan aset itu sepatutnya diselesaikan bulan ini, namun dengan lanjutan rundingan antara juruaudit, beliau menjangkakan MASwings akan sah menjadi milik Sarawak dalam suku pertama tahun depan.
Baru-baru ini, Abang Johari mengumumkan apabila MASwings dimiliki Sarawak, ia tidak hanya akan menyediakan penerbangan antara wilayah Sarawak dan Sabah semata-mata.
Sebaliknya, MASwing akan turut menyediakan penerbangan antarabangsa ke beberapa destinasi antaranya Korea, Jepun, Hong Kong, Bangkok di Thailand, Jakarta di Indonesia dan Frankfurt di Jerman.-BH Online