Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) komited memperkukuh kawalan dan keselamatan sempadan di seluruh negara bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus dilindungi.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata seperti ramai sedia maklum kewujudan `lorong tikus’ di sempadan Malaysia-Thailand adalah satu cabaran besar dalam menangani jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan dan pemerdagangan manusia.

Menerusi hantaran di laman sosial Facebook rasminya hari ini, beliau berkata KDN sedang menjalankan inisiatif menyediakan solusi, menggunakan teknologi yang membabitkan kos lebih rendah berbanding pembinaan tembok di sempadan Malaysia-Thailand.

Katanya, agensi `bongsu’ KDN iaitu Agensi Kawalan dan Perlindungan Kawalan Sempadan (AKPS) juga bakal memulakan operasi mereka di Rantau Panjang, Kelantan.

“Insya-Allah, ini akan meningkatkan lagi kekuatan KDN melindungi sempadan Malaysia. Keselamatan sempadan negara adalah keutamaan saya semenjak dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri,” katanya.

Saifuddin berkata selain itu, pelbagai inisiatif dan penambahbaikan dilakukan Jabatan Imigresen bagi mengatasi kesesakan di pintu masuk Malaysia-Singapura.

Antaranya, kata beliau, penggunaan kod QR bagi bas dan motosikal di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) Johor. 

“Penggunaan `autogate’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, Terminal 2 dan BSI juga telah membantu melancarkan proses kemasukan ke Malaysia,” katanya.


Saifuddin berkata aspek kebajikan turut diberi perhatian kementeriannya dalam memastikan keselamatan sempadan negara terjamin.

“Kekuatan sebenar bermula dengan mereka (anggota) yang menjaga sempadan kita. Di Padang Besar, Perlis, kami telah menyiapkan projek perumahan untuk anggota keselamatan, lengkap dengan kemudahan seperti masjid, dewan serbaguna, dan taman permainan. 

“Ini bukan hanya pelaburan dalam keselamatan negara tetapi juga dalam kebajikan mereka yang bertugas menjaga kita semua,” katanya.

Saifuddin menegaskan keutamaannya ketika ini adalah bagi memastikan setiap langkah yang diambil melalui teknologi hingga kerjasama antarabangsa, mendatangkan manfaat kepada negara dan rakyat.- BERNAMA