KUALA LUMPUR: Pejabat Kedutaan Malaysia di Korea Selatan memaklumkan setakat ini, tiada rakyat Malaysia terbabit dalam insiden pesawat terhempas di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan, pagi tadi.
Bagaimanapun, pejabat kedutaan negara di Seoul sedang giat mengumpulkan maklumat lanjut berhubung kejadian menimpa pesawat membawa 181 orang itu.
Wisma Putra berkata, pihak kedutaan berusaha mendapatkannya daripada sumber rasmi, selain terus memantau situasi berkenaan dengan rapi.
“Kementerian Luar mengambil maklum mengenai insiden tragis membabitkan pesawat Jeju Air penerbangan 7C2216 yang tergelincir dari landasan dan terhempas di Lapangan Terbang Antarabangsa Muan.
“Kemalangan pada 29 Disember 2024 mengakibatkan kehilangan beberapa nyawa,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Terdahulu, media antarabangsa melaporkan sebuah pesawat yang membawa 181 orang, terhempas di lapangan terbang itu, hari ini.
Pesawat itu membawa 175 penumpang bersama enam anak kapal dan setakat ini, 62 kematian disahkan mengikut laporan Reuters, dengan rakaman video dramatik menunjukkan kapal terbang berkenaan terbakar.
Agensi bomba negara itu dilapor memaklumkan bahawa dua mangsa – seorang anak kapal dan seorang penumpang – telah diselamatkan dalam operasi menyelamat yang masih diteruskan.
Seorang pegawai lapangan terbang yang dipetik Reuters pula berkata, pihak berkuasa sedang berusaha menyelamatkan mangsa di bahagian ekor pesawat terbabit.
Dalam perkembangan sama, Wisma Putra turut menzahirkan doa dan ingatan bersama keluarga serta orang tersayang mangsa yang ketika ini melalui saat sukar.
Susulan itu, Wisma Putra meminta rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan atau maklumat berkaitan supaya menghubungi Pejabat Kedutaan Malaysia di Seoul di 129, Dokseodang-ro, Hannam-dong, Yongsan-gu, Seoul 04419, Republik Korea.
“Mereka boleh dihubungi melalui talian +82-2-2077 8600 (talian am) / +82-10-8974-8699 atau melalui e-mel mwseoul@kln.gov.my,” katanya.-BH Online