Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Berkuat kuasa Januari depan, semua ‘dealer’ atau peniaga yang membeli sawit daripada pekebun kecil diwajibkan untuk mengeluarkan resit bagi setiap belian komoditi itu.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan lesen peniaga yang membeli sawit itu tidak akan diperbaharui.

Mengulas lanjut, beliau berkata selaras peraturan baharu itu juga, peniaga yang membeli sawit perlu memastikan alat timbang yang digunakan boleh menimbang komoditi itu dengan tepat, sekali gus mengelak daripada risiko penipuan. 

“Mulai 2025 ini, saya sudah beritahu MPOB (Lembaga Minyak Sawit Malaysia) kita akan mensyaratkan pembeli-pembeli sawit atau ‘dealer’ ini, mereka kena betulkan timbang…. jangan ada sebarang aduan lagi daripada pekebun kecil mengatakan timbang dia tak betul.

“Kedua, setiap kali dia beli daripada pekebun kecil ini, dia mesti mengeluarkan resit (belian) kepada pekebun kecil, tunjuk berapa tan, berapa berat, berapa dia punya ‘oil extraction rate’ (kadar perahan minyak).

“Kena bagi (resit itu) kepada mereka (pekebun kecil) untuk simpan, sebab banyak yang saya dapat maklum balas mereka ‘complain’ (mengadu) cakap ‘dealer’ ini tak timbang, salah timbang dan sebagainya,” katanya. 

Beliau berkata demikian ditemui media selepas hadir merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA) kali ke-26 di sini hari ini.

Turut hadir, Presiden PERDASAMA, Mohd Azmannizam Baharon.

Mengulas lanjut, Johari berkata, isu penipuan timbang dan ketiadaan resit belian sawit masih berlaku dan jika tidak dikawal atau dibendung akan menyukarkan industri komoditi ini untuk berkembang dan mampan. 

Justeru beliau berkata, penguat kuasa MPOB di seluruh negara akan melakukan pemeriksaan mengejut ke atas peniaga yang membeli sawit bagi mengelak isu ini berterusan. 

“(Kes penipuan timbang) tak banyak, tapi masih ada aduan. Jadi lesen kita (MPOB) keluarkan kepada ‘dealer’ untuk ‘facilitate’ (melancarkan urusan) industri ini. 

“Jadi mereka yang terlibat dalam industri ini kena pastikan supaya dia mengikut prosedur ditetapkan dan sekiranya melanggar prosedur ini, lesen dia tidak akan diperbaharui. 

“Kita mula (kuat kuasa) 2025 dan saya sudah tekankan kepada penguat kuasa di MPOB, mereka kena turun ke bawah, pergi ke setiap ‘dealer’ ini secara mengejut,” katanya.-BH Online