Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA KANGSAR – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberi jaminan bekalan kelapa di negara ini mencukupi sepanjang tempoh musim perayaan tahun depan.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, sebarang kekurangan bekalan bahan itu di pasaran boleh ditampung menerusi pembelian kelapa dari negara luar seperti Indonesia.

Menurutnya, ketika ini kerajaan juga memperhebat galakan kepada petani-petani meningkatkan hasil tanaman kelapa mereka agar dapat memenuhi permintaan yang tinggi.

“Sekarang memang harga santan agak tinggi dan kita pula akan mengalami perayaan Tahun Baharu Cina, Ramadan juga Hari Raya Aidilfitri yang berturut-turut.

“Bagi memenuhi keperluan itu, kita sudahpun berunding dengan Fama (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan) supaya dapat dibawa kelapa dari luar khasnya Indonesia. Kalau boleh lebih-lebih banyak.

“Begitupun untuk jangka panjangnya, kita menggalakkan penamaan kelapa untuk mencukupkan bekalan dan permintaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena lawatan kerja ke Taman Agroteknologi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) Kuala Kangsar di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Ketua Pengarah Mardi, Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani dan Pengerusi Mardi, Dr Azman Ismail.

Mohamad berkata, daripada dapatan dilakukan, sudah banyak pengusaha-pengusaha baru di negara ini sudah menyedari bahawa penanaman kelapa sesuatu yang menguntungkan.

Katanya, keadaan itu memberi maklum balas positif apatah lagi negara pengeksport kelapa juga menghadapi keperluan kegunaan dalam negara sendiri.

“Ruang pertanian dalam negara perlu ditingkatkan dan dengan itu, Malaysia boleh menjadi negara pengeluar yang hebat pada masa akan datang,” katanya.

Pada Selasa, Fama menerusi anak syarikat Famaco telah meningkatkan pembelian kelapa tua dari Indonesia kepada 320 metrik tan sebulan bermula Disember berbanding 180 metrik tan sebelum ini.

Langkah itu susulan penurunan bekalan kelapa tempatan sehingga 50 peratus di beberapa pasar utama termasuk Lembah Klang akibat faktor cuaca tidak menentu sejak tiga bulan lepas sehingga menjejaskan pengeluaran di ladang tempatan dan negara pengeksport.-Sinar Harian