Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

TAHUN 2024 hanya berbaki beberapa hari sahaja lagi sebelum melabuhkan tirai dengan seribu satu cerita. Pastinya ada suka, duka, pahit dan manis dijadikan kenangan. Itulah rencam kehidupan.

Namun apa yang penting ialah pengajaran dan langkah penambahbaikan untuk dijadikan renungan serta dibawa ke tahun hadapan bakal menjelang.

Bermula awal tahun hingga kini, tanggungjawab kami di Kementerian Pendidikan (KPM) tidak pernah selesai. Tumpuan terarah kepada usaha mereformasikan pendidikan negara.

Cabarannya hebat, namun kami lakukan sedaya upaya dengan sepenuh hati bagi memastikan isu terkait dasar pendidikan serta pelaksanaan operasi di setiap peringkat dapat ditangani sebaik mungkin.

Ini termasuk isu terkait kurikulum, penerimaan terhadap Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS), laporan Bank Dunia berkenaan sistem pendidikan negara dan pencapaian dalam Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA) 2022. 

Sedari awal memegang tampuk kepimpinan di kementerian, saya sering ungkapkan K-P-M ialah ‘Kami Pro Mendengar’. Keprihatinan ini tidak pernah padam. Sementelah, pendidikan negara adalah milik kita bersama. 

Sebagai contoh, memahami kebimbangan sebahagian masyarakat merasakan kurikulum sedia ada sukar dan tidak sepadan usia murid, kementerian memulakan inisiatif intervensi kurikulum pada Mac lalu, iaitu sebahagian agenda Reformasi Pendidikan sedang berjalan.

Hasil pelaksanaannya, KPM kini selesai mengemas kini dan menyusun semula kandungan bagi empat mata pelajaran Tahap 1, iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

Keberhasilan lain inisiatif intervensi kurikulum ialah pengesanan awal tahap literasi dan numerasi. Ia membabitkan 448,113 murid Tahun 1 dan daripada jumlah itu, seramai 122,062 murid dikenal pasti belum menguasai asas membaca, menulis dan mengira (3M).

Setelah menjalani program intervensi selama tiga bulan, 48,308 orang murid berjaya menguasai kemahiran literasi dan numerasi, manakala baki murid masih belum menguasai 3M akan meneruskan program intervensi.

Secara umumnya, agenda reformasi pendidikan bertujuan mempertingkat keupayaan pendidikan negara bagi mencapai standard global seperti dihasratkan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan (PPPM) 2013-2025.

Ia memberi tumpuan kepada enam hala tuju utama, iaitu intervensi kurikulum, penyelarasan pendidikan prasekolah, Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Memartabatkan Bahasa Melayu dan Mengukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) dan pendidikan digital. 

Isu lain turut diperdebat ialah keputusan untuk kekal memansuhkan peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bagi membolehkan PBS lebih menyeluruh diperkasakan.

Boleh sahaja saya memilih untuk mengambil pendekatan populis dengan mengembalikan peperiksaan seperti diminta sesetengah pihak. Namun, saya kekal dengan pendirian tidak berbuat sedemikian.

Walaupun diasak habis-habisan, keputusan perlu dibuat secara rasional dan objektif dengan mengambil kira apa terbaik untuk masyarakat serta negara. Kepentingan murid, guru dan seluruh warga pendidikan mengatasi segala-galanya.

Akses pendidikan terus menjadi tumpuan utama KPM sepanjang 2024, terutama membabitkan kawasan pedalaman serta Sabah dan Sarawak. Sepanjang tahun ini, 41 projek pembangunan semula bangunan sekolah daif berjaya disiapkan di seluruh negara.

KPM turut meluaskan pelaksanaan Sekolah Komprehensif 9 (K9) di 11 sekolah baharu di Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak dan Sabah. Ini menjadikan jumlah keseluruhan Sekolah K9 sebanyak 28 buah di seluruh negara.

Sekolah model khas

Sekolah model khas ini penting kerana ia menyediakan sembilan tahun persekolahan di peringkat sekolah rendah dan menengah rendah di premis sama, sekali gus menangani isu keciciran dalam kalangan murid di kawasan pedalaman.

Putaran ganas kemiskinan hanya boleh diputuskan melalui pendidikan. Justeru, Kerajaan MADANI terus memperkasakan program Bantuan Awal Persekolahan (BAP), Rancangan Makanan Tambahan (RMT), Program Susu Sekolah (PSS), Bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin dan pelbagai jenis bantuan lain. 

Terkini, buat pertama kali, BAP turut diperluas kepada pelajar Tingkatan 6 yang bakal memberi manfaat kepada kira-kira 100,000 pelajar.

Tahun 2024 menyaksikan bagaimana kerjasama strategik KPM, Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan membuahkan hasil cukup signifikan dalam menangani isu kekurangan guru. Sepanjang tahun ini, seramai 13,749 guru baharu dilantik secara tetap dan lantikan kontrak (COS). 

Pengambilan khas guru Sarawak turut dilaksanakan selaras tuntutan dikemukakan menerusi Jawatankuasa Tindakan Bersama Pembangunan Pendidikan (JTBPP) bagi memperkukuhkan pendidikan di negeri itu. Hasilnya, KPM berjaya meningkatkan peratus pengisian guru di Sarawak kepada 98.06 peratus.

Di sebalik keputusan pentaksiran antarabangsa dan laporan Bank Dunia kurang memberangsangkan, KPM terus komited untuk mengambil bahagian dalam pentaksiran seperti PISA, Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) dan The Southeast Asia Primary Learning Metrics (SEA-PLM).

Kepentingan pentaksiran antarabangsa

Kerana apa? Kita perlu berani mendepani realiti dan cabaran mendatang demi kebaikan pendidikan negara. Pentaksiran antarabangsa penting untuk KPM mengetahui tahap pencapaian semasa murid dan tambah baik kepada sistem pendidikan negara perlu dilaksanakan termasuk penambahbaikan kurikulum, pembangunan guru, fasiliti dan perkembangan murid.

Baru-baru ini KPM mengambil keputusan sukar untuk meneruskan Ujian Bertutur Bahasa Melayu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam situasi banjir di beberapa negeri.

Saya faham sentimen meledak dan hentaman ditujukan kepada saya dan KPM. Namun perlu saya jelaskan, keputusan ini dibuat secara musyawarah, bersama-sama dengan rakan Pengurusan Tertinggi KPM dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) terbabit dengan mengambil kira setiap perkara di lapangan serta nasihat pihak berkuasa. 

Setiap implikasi baik dan buruk telah kami nilai secara tuntas dengan meletakkan maslahat untuk mengurangkan impak banjir terhadap 1.3 peratus calon SPM di kawasan terjejas dan tanpa mencetuskan masalah baharu kepada 98.7 peratus calon lain di seluruh negara. 

Di sebalik mehnah dan tribulasi silih berganti serta ranjau sepanjang jalan, di KPM kami tidak pernah lelah. Sekarang bukan waktunya untuk kami berehat atau berhenti bekerja walau seketika. 

Kami pikul amanah untuk memartabatkan pendidikan negara dengan penuh kebertanggungjawaban. Dunia tempat untuk berpenat, di syurga nanti kami berehat. 

Menginjak ke tahun baharu, saya optimis pendidikan negara bakal menjadi lebih hebat. Besar harapan saya untuk kita semua bersama-sama berganding bahu berusaha meletakkan pendidikan negara ke tahap lebih baik.

Kurikulum Persekolahan 2027 dan Pelan Pendidikan Baharu 2026-2036 adalah antara menjadi tumpuan. Pastinya apa kita buat pada hari ini hasil tuaiannya akan mengambil masa, mungkin 10 atau 20 tahun lagi. Itulah pendidikan, ia adalah satu proses berterusan melahirkan insan cemerlang, holistik dan seimbang.-BH Online