KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan pelantikan bekas Perdana Menteri Thailand, Dr Thaksin Shinawatra sebagai penasihat tidak rasmi kepada Pengerusi ASEAN bagi menumpu usaha melonjak ekonomi dan perkembangan teknologi baharu.
Perdana Menteri berkata, pelantikan tokoh perniagaan terkemuka Thailand itu juga bertujuan merintis usaha damai di selatan Thailand dan merungkai krisis di Myanmar, yang dilihat terus meruncing hingga ini.
“Saya bertemu sahabat baik yang juga mantan Perdana Menteri Thailand, Dr Thaksin Shinawatra semalam dan mengadakan perbincangan panjang lebar terkait beberapa perkara penting, termasuk peranan beliau selaku penasihat tidak rasmi kepada Pengerusi ASEAN.
“Perbincangan kami seputar beberapa isu kritikal serantau, merangkumi usaha melonjak ekonomi, perkembangan teknologi baharu, merintis usaha damai di Selatan Thailand dan merungkai krisis di Myanmar,” katanya dalam satu catatan di Facebook beliau hari ini.
Anwar menjelaskan, kepakaran dan jaringan perhubungan meluas yang dimiliki di rantau ini, membolehkan beliau memainkan peranan dan membuka peluang penting buat Malaysia dan ASEAN bagi berdepan cabaran ini dengan penuh yakin dan berkesan.
“Saya dan Thaksin turut bertukar pandangan terkait usaha memperkukuh hubungan persahabatan Malaysia-Thailand dan selaras visi dan persefahaman seperti mana yang saya kongsikan bersama-sama Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra.
“Kami berkongsi kepercayaan yang sama sejak puluhan tahun lalu, bahawa Malaysia dan Thailand berupaya mencipta pelbagai kejayaan bersama untuk kedua-dua negara dan rantau ini.
“Insya-Allah, saya dan Thaksin komited untuk merealisasikan hasrat ini,” katanya tanpa memperincikan lokasi pertemuan tokoh politik Thailand itu semalam.
Semalam, Anwar dilapor berada di Langkawi bersama keluarga dan turut menghadiri beberapa program bertemu masyarakat.
Anwar ketika mengumumkan pelantikan Thaksin pada 16 Disember lalu, menjelaskan bahawa Malaysia memerlukan negarawan seperti Thaksin untuk berkongsi kepakaran serta idea kepada Pengerusi ASEAN berkenaan isu serantau.
Thaksin, yang berkhidmat sebagai Perdana Menteri Thailand dari 2001 hingga 2006, hidup dalam buangan sejak 2008 dan menghabiskan sebahagian besar masanya di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) selepas kerajaannya digulingkan dalam rampasan kuasa tentera yang diketuai oleh Jeneral Sonthi Boonyaratglin.
Malaysia akan mempengerusikan ASEAN bermula 1 Januari 2025, dengan fokus untuk memastikan Asia Tenggara terus menjadi rantau yang aman, stabil dan makmur.
Ini kali kelima Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN sepanjang sejarah keanggotaan dalam blok serantau itu iaitu pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.-BH Online