Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kuala Lumpur: Kenderaan perdagangan yang didapati tidak mematuhi peraturan akan dikenakan tindakan sita dan lucut hak menerusi operasi khas ‘Gempur Teknikal’ di seluruh negara.

Operasi dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) itu susulan beberapa kejadian kemalangan membabitkan kenderaan berkenaan termasuk nahas meragut tujuh nyawa di Kilometer 204 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara, dekat Alor Gajah di sini, pada Isnin lalu.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, operasi penguatkuasaan itu akan menumpukan kepada kesalahan lebih muatan, teknikal, dokumentasi, lalu lintas dan kesalahan teknikal pembuatan serta penggunaan kenderaan.

“Pemilik syarikat atau kenderaan boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 57 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) sekiranya disyaki melanggar lesen pengendali iaitu gagal memberikan keutamaan yang tinggi ke atas pengguna jalan raya lain yang jika sabit kesalahan boleh didenda antara RM1,000 sehingga RM500,000.

“Tindakan atas kesalahan itu juga, kenderaan terbabit boleh disita mengikut Seksyen 80 akta sama dan kenderaan boleh dilucuthak sekiranya sabit kesalahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, tindakan tegas tanpa kompromi juga akan diambil pihak JPJ mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Kaedah-Kaedah di bawahnya, Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (Akta 334).

“Tindakan penguatkuasaan yang lebih tinggi terus dipertingkatkan dan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan tahap pematuhan peraturan keselamatan jalan raya di seluruh negara.

“JPJ memandang serius dengan trend kemalangan membabitkan kenderaan perdagangan sehingga menyebabkan kematian pengguna jalan raya yang lain,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan tujuh maut termasuk kanak-kanak lelaki berusia dua tahun dalam kemalangan lima kenderaan di Kilometer 204 Lebuh Raya Utara Selatan, arah utara.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah dilaporkan berkata, kemalangan 8.40 malam itu membabitkan sebuah bas ekspres, lori foton, treler, kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima dan Perodua Bezza.

Menurutnya, siasatan awal mendapati tayar hadapan kanan lori tercabut sebelum bas yang tiba di tempat kejadian terlanggar tayar itu dan hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan serta melanggar tiga kenderaan lain.-MyMetro Online